KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati pelaksanaan pelan mobilisasi Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) belum mencapai tahap yang signifikan.

Rumusan itu didapati hasil sesi lawatan kerja tujuh anggota PAC bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ke limbungan kapal Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada 5 Okt lepas bagi meninjau kemajuan kerja-kerja pembinaan LCS yang sedang dilaksanakan.

Menurut laporan yang disiarkan menerusi laman sesawang rasmi PAC, walaupun kemajuan bagi kerja-kerja pembinaan telah pun dimulakan di lapangan, terdapat varian negatif 0.07 peratus atau kelewatan sebulan pada keseluruhan kemajuan projek dari perancangan asal.

Bagaimanapun BNS dan TLDM memberi jaminan kelewatan itu tidak menjejaskan garis masa keseluruhan bagi penyerahan kapal LCS kepada TLDM.

"Berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef), TLDM dan Kementerian Kewangan (MOF), PAC berpandangan bahawa ia sepatutnya mencukupi dan menjadi pemangkin supaya projek LCS ini siap tepat pada masanya.

"Ini kerana terdapat terdapat empat jenis jawatankuasa yang memantau kemajuan projek LCS selain PAC iaitu Jawatankuasa Teknikal di peringkat Pasukan Projek dan Project Management Review (PMR) iaitu pasukan teknikal projek di peringkat Mindef," maklum laporan itu.

Selain itu, terdapat Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Pembangunan) Mindef dan Project Monitoring Committee (PMC) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Mindef dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

PAC juga merumuskan pertambahan kos RM2.098 bilion untuk projek itu telah mengambil kira penjimatan sejumlah RM450 juta berikutan pengurangan kapal daripada enam kepada lima.

Pada masa sama, PAC turut mendapati reka bentuk terperinci atau "detailed design" LCS masih pada kadar 96 peratus kesiapan di peringkat kontraktor pembinaan dengan hanya 84 peratus sahaja telah melalui peringkat pengesahan, verifikasi dan kelulusan oleh pihak Naval Group Perancis (penguasa reka bentuk LCS).

"Kerja-kerja pengesahan daripada pihak Naval Group Perancis tergantung kerana isu tunggakan pembayaran yang tidak diselesaikan sepenuhnya. Selain itu, pembayaran balik tunggakan kepada Pengilang Peralatan Tulen (OEM) turut akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas Perjanjian Tambahan Keenam (SA6) ditandatangani.

"Bagi tujuan penambahbaikan, PAC mengemukakan lima syor penambahbaikan termasuk Mindef masih perlu membentangkan laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan sehingga projek LCS disempurnakan termasuk laporan kemajuan mengikut piawaian pengurusan projek antarabangsa.

Mindef uga perlu memastikan kontraktor pembinaan menyiapkan reka bentuk terperinci sepenuhnya termasuk mendapat kelulusan daripada Naval Group sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA 6," menurut laporan itu.

Pembayaran yang perlu dibuat kepada OEM dan pihak yang sepatutnya hendaklah bertepatan dengan yang digariskan dalam SA 6 agar kelewatan pembinaan dapat dielakkan.

Selain itu, laporan berkenaan turut mengesyorkan agar Mindef dan TLDM perlu memastikan sebarang dana digunakan secara berhemah dengan mengutamakan keperluan untuk menyiapkan LCS serta tidak membazir.

PAC juga menyarankan MOF perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan tiada pembaziran wang rakyat dalam projek pembinaan LCS.

Laporan penuh berhubung kemajuan projek LCS boleh dimuat turun menerusi laman web PAC www.parlimen.gov.my/pac.

Sebelum ini, pembinaan LCS terpalit kontroversi apabila PAC mendedahkan tiada seunit pun telah disiapkan, walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.08 bilion kepada BNS.

-- BERNAMA