MALAYSIA
Pelan hadapi geopolitik Asia Barat tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Pelan tindakan jangka pendek dan panjang kerajaan dalam menghadapi ketegangan geopolitik di Asia Barat merupakan antara tumpuan pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelan tindakan jangka pendek dan panjang kerajaan dalam menghadapi ketegangan geopolitik di Asia Barat merupakan antara tumpuan pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Mesyuarat menerusi portal Parlimen, perkara berkenaan dibangkitkan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, khususnya dalam memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara.
Pada sesi sama, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) pula meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 mengenai kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan dapat mempengaruhi penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi termasuk kedaulatan blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z).
Semasa sesi soal jawab pula, Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) memohon penjelasan daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai langkah kerajaan dalam menangani isu tarif Amerika Syarikat dengan keterlibatan kerajaan negeri.Turut bertanyakan soalan ialah Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan berkaitan hasil penjimatan menerusi pengurangan perbelanjaan subsidi dan impak terhadap pasaran telur di pasaran.
Selesai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan pembentangan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025, diikuti pembentangan bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 dijadual berlangsung 24 hari dan antara yang menjadi tumpuan ialah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 pada 31 Julai ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami