BINTULU: Satu pelan induk baharu sedang dirangka untuk pembangunan Bahagian Bintulu yang melibatkan peluasan kawasan bandar sehingga Jepak dan menjadikan Tatau sebahagian daripada kawasan subbandarnya.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelan itu akan merangkumi penubuhan pangkalan tentera laut di wilayah utara Bintulu, iaitu Samalaju, selain menambah pasukan polis.

"Kita akan membangunkan bandar Bintulu secara lebih teratur dan berstruktur yang akan memberi manfaat kepada penduduk Bintulu dan mereka yang bekerja di sini," katanya kepada pemberita selepas meneliti kemajuan projek Pusat Pentadbiran Bersepadu Bintulu di Jepak di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata jambatan baharu yang sedang dibina berhampiran kuala Sungai Kemena di sini dan dijangka siap tahun depan adalah strategi untuk menjadikan Jepak sebagai kawasan bandar diperluas bagi Bintulu.

"Tumpuan (pembangunan Bintulu) lebih kepada bahagian Sungai Kemena yang berada di sebelah sana (tebing utara) yang menyebabkan kenaikan kos pembangunan perumahan dan bangunan komersial," katanya.

Abang Johari berkata kenaikan kos sara hidup di Bintulu sebahagiannya disebabkan penawaran dan permintaan hartanah, sekali gus mendorong kerajaan Sarawak merangka pelan induk itu yang merupakan pendekatan strategik untuk mengurangkan kos berkenaan.

Peluasan kawasan bandar Bintulu akan meningkatkan penawaran hartanah, dan akan mengurangkan kos sara hidup dalam tempoh 30 tahun akan datang, katanya.

Beliau berkata selain itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah memaklumkan rancangan untuk mewujudkan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Timur di Samalaju, Bintulu manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah pasukannya di sini.

"Ini akan memberikan kesan melata kepada ekonomi kita dan dari segi pertahanan terdapat keselamatan dan dengan itu pelaburan meningkat," katanya.

Pada Khamis, media melaporkan pembinaan Pangkalan TLDM yang baharu iaitu Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Samalaju, Bintulu akan dimulakan sejurus menerima surat rasmi daripada kerajaan negeri.

Bintulu merupakan kawasan yang strategik serta berdekatan dengan kawasan Lapangan Gas Kasawari dan Beting Patinggi Ali di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Laut China Selatan, kata Mohamad selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di Kuching, semalam.

-- BERNAMA