KUALA LUMPUR: Senator Datuk Ras Adiba Radzi menggesa Kementerian Pengangkutan memperkenalkan pelan tindakan mobiliti inklusif untuk menambah baik kemudahan orang kurang upaya (OKU) di kawasan pengangkutan awam termasuk perhentian dan stesen bas, lapangan terbang serta stesen kereta api.

Dalam satu kenyataan bersempena Hari Kerusi Roda Antarabangsa, hari ini, katanya, pengenalan perundangan dalam bidang ini memerlukan pandangan baharu tentang panduan yang sudah wujud, sama ada ia terkini, konsisten dan menyeluruh serta sama ada terdapat pertindihan dan ketinggalan.

"Dalam pembentangan Belanjawan 2023 minggu lalu, kerajaan menyatakan kemudahan tanjakan kerusi roda akan dibina di tujuh la[pangan terbang di Sabah dan Sarawak untuk manfaat ribuan pengguna kerusi roda yang menggunakan khidmat penerbangan MASWings.

Sayua harap usaha ini juga boleh dilaksanakan di lapangan terbang yang lain di seluruh negara dan disediakan untuk semua syarikat penerbangan," katanya.

Presiden OKU Sentral itu berkata penyelesaian juga perlu diwujudkan untuk menangani isu berkenaan infrastruktur kebolehcapaian di bangunan sedia ada dan pada kawasan persekitaran pejalan kaki.

Beliau berkata audit akses boleh menyediakan analisis terperinci tentang potensi dan masalah sebenar dan boleh dibuat berdasarkan rancangan untuk bangunan baharu serta dengan meninjau bangunan sedia ada.

"Di mana audit akses dibuat, mereka mesti mengambil kira pelbagai keperluan orang kurang upaya, termasuk mereka yang mengalami masalah deria dan kognitif. Pengauditan hendaklah dijalankan oleh juruaudit atau perunding pakar yang diiktiraf.

"Penambahbaikan kepada kebolehcapaian di bangunan sedia ada mungkin dilakukan secara paling berhemat sebagai sebahagian daripada pembaikan, penyelenggaraan, pengubahsuaian dan penghiasan semula secara berkala," katanya.

Ras Adiba berkata banyak lagi yang diperlukan untuk mengatasi isu kebolehcapaian di tempat kerja seperti mewujudkan atau menyediakan tempat khas parkir berhampiran pintu masuk dankeluar bangunan; mempunyai akses tanpa tangga; tulisan braille pada pintu dan semua papan tanda yang diletakkan dalam jangkauan serta tandas yang boleh diakses.

Sementara itu, beliau berkata dengan peningkatan populasi OKU di negara ini, sudah tiba masanya untuk Malaysia mempunyai Akta Anti Diskriminasi untuk OKU seperti Akta Diskriminasi OKU United Kingdom 1995 dan Akta OKU Amerika Syarikat 1990.

Diskriminasi ketidakupayaan berlaku apabila OKU dilayan dengan kurang baik berbanding orang tanpa kecacatan dalam keadaan yang sama atau serupa, katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), sebanyak 218,116 orang kurang upaya fizikal telah didaftarkan sehingga 31 Dis 2022.

-- BERNAMA