ISKANDAR PUTERI: Satu pelan tindakan berkaitan pencegahan pencemaran dan pembersihan sungai perlu diwujudkan di setiap negeri bagi menangani isu pencemaran sungai di negara ini.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata langkah itu perlu bagi memastikan isu pencemaran sungai negara ini mampu dikendalikan dengan berkesan sekali gus dihentikan.

"Dalam hal ini tindakan bersepadu perlu dilaksanakan... saya rasa pelan tindakan pencegahan pencemaran dan pembersihan perlu diwujudkan di setiap negeri untuk menggariskan tindakan yang perlu diambil oleh agensi berkaitan mengikut bidang tugas dan kuasa masing-masing.

"Saya syorkan ia diselaraskan oleh Jawatankuasa Tindakan Alam Sekitar Negeri yang dipengerusikan Exco Alam Sekitar setiap kerajaan negeri, ini langkah yang terbaik supaya tindakan boleh diambil secara bersepadu," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2023 di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di sini hari ini.

Perasmian berkenaan disempurnakan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Turut hadir Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengikut Indeks Kualiti Air (IKA) didapati 29 daripada keseluruhan 672 sungai di seluruh negara berada dalam kategori tercemar pada tahun lepas.

Negeri tersenarai dalam sungai tercemar antaranya ialah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata pihaknya akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian di kawasan panas atau 'hotspot' seperti kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah yang berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka ekoran cuaca panas dan kering.

"Sudah tentu diperingkat JAS, kita akan meneruskan pemantauan dan kita akan mempertingkatkan pemantauan ke kawasan-kawasan dikatakan sebagai 'hotspot' atau kawasan mudah terbakar.

"Semua pihak diingatkan agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka atau berhadapan tindakan undang-undang," katanya.

-- BERNAMA