TITAH DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN. SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH PADA PELANCARAN BUKU PILIHAN RAYA – DEMOKRASI MALAYSIA

SALAM Sejahtera.

Pilihan raya memberikan ruang membolehkan rakyat memilih kerajaan.

Gagasan kerajaan pilihan rakyat dan bertanggungjawab kepada rakyat merupakan tunggak utama demokrasi.

Umum mempercayai kerajaan yang pilihan rakyat akan menyempurnakan amanah, mentadbir urus sumber dan membelanjakan wang negara dengan mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat. 

2. Dua Negeri Selat, Melaka dan Pulau Pinang menjadi perintis memperkenalkan pilihan raya di bumi ini, melalui Pilihan Raya Perbandaran yang diadakan di Kota Melaka dan George Town dari 5 hingga 20 Disember 1857.1

Hasrat memperkenalkan kaedah memilih kerajaan melalui pilihan raya pernah dirintis oleh Henry Gurney dengan dua tujuan utama:

Pertama: sebagai langkah mempersiapkan Tanah Melayu berkerajaan sendiri.

Kedua: memenuhi tujuan rakyat yang mahukan demokrasi, sekali gus dapat mengalih sokongan rakyat daripada terpengaruh dengan perjuangan Parti Komunis Malaya.

3. Hasrat Henry Gurney tertangguh kerana Raja-Raja Melayu ketika itu lebih mengutamakan usaha untuk menamatkan darurat.

Semasa berlangsungnya Mesyuarat Kesepuluh Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950, Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah telah menitahkan pandangan bahawa pendidikan yang cukup ialah prasyarat penting sebelum memperkenalkan pilihan raya untuk mengelak tercetusnya kekacauan.

Baginda juga mengingatkan, tanpa pendidikan dan pemahaman yang cukup, demokrasi boleh dimanipulasikan oleh pihak yang berkepentingan dan berkesudahan dengan memberi kuasa kepada pemerintahan bersifat diktator.

Walaupun hasrat mengadakan pilihan raya ditangguhkan seketika, pada 27 Julai 1955, Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu telah berlangsung untuk memilih 52 orang anggota.

4. Persekutuan Tanah Melayu lahir sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1957, pada era pasca-Perang Dunia Kedua, dalam suasana dunia secara umum menerima hakikat, bahawa memberikan hak kepada rakyat untuk memilih pemimpin melalui pilihan raya, merupakan jantung yang mendenyut nadi menghidupkan roh demokrasi.

Umum mempercayai demokrasi dapat mengawal dan membatasi kuasa kerajaan, dan kerajaan yang dipilih rakyat melalui pilihan raya akan lebih bertanggungjawab kepada rakyat.

5. Suruhanjaya Reid yang dipertanggungjawabkan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, memberikan perhatian kepada pandangan yang dizahirkan oleh Majlis Raja-Raja dan saranan yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin politik yang mewakili rakyat.

Suruhanjaya Reid telah memaktubkan subjek berkaitan pilihan raya di dalam Perlembagaan Persekutuan, meletakkan Persekutuan Tanah Melayu berstatus sebuah negara demokrasi. Perkara berkaitan pilihan raya terkandung di Bahagian 8, Perkara 113 ke Perkara 120, dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan; sementara urusan pemilihan anggota Dewan Undangan Negeri terkandung dalam semua Perlembagaan Negeri atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

6. Pada asasnya pilihan raya difahami sebagai proses pemilihan umum yang diadakan untuk memilih wakil di Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri yang diadakan secara berkala, mengikut selang tempoh yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dinyatakan, pilihan raya hendaklah dilaksanakan berdasarkan peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang berkaitan.

Diperakukan pula agar ditubuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab memenuhi segala peranan dan melaksanakan segala tugas berkaitan pilihan raya secara bebas dan adil.

Sejak tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, disusuli dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, empat belas kali pilihan raya umum telah diadakan.


7. PILIHAN RAYA DEMOKRASI MALAYSIA, yang dilancarkan pagi ini, mengandungi 15 bab dan 760 halaman, merupakan satu dokumentasi yang merekodkan pelbagai aspek pilihan raya, merangkumi sejarah, perundangan, proses, ulasan, pandangan dan saranan.

Berlatarbelakangkan pengalaman peribadi sebagai seorang pemerhati, kemudiannya terlibat memenuhi peranan dan tanggungjawab Raja Berperlembagaan, Beta memilih menyentuh lima perkara.

8. Pertama: Keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perkara 114 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan:

“Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang diPertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah mengandungi seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang ahli lain.

Perkara 114 (2) menetapkan: “Pada melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang diPertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.”

Dalam menyempurnakan peranan melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, dimaktubkan, penegasan mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.

Tiga kata kunci yang ditegaskan secara khusus ialah ‘mendapat kepercayaan awam’.

9. Berpandukan Perkara 114(1) dan 114(2) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah berfungsi sebagai sebuah badan yang bebas daripada pengaruh kerajaan mahupun parti-parti politik. Pelantikan anggota-anggota SPR, disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Yang di-Pertuan Agong semasa melantik anggota-anggota SPR mengambil perhatian peri pentingnya SPR mendapat kepercayaan masyarakat awam.

Anggota SPR tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan-alasan dan dengan cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

Beberapa precedent kehakiman, membuktikan SPR memiliki autonomi, bebas dan terlindung daripada campur tangan eksekutif atau parti politik.

10. SPR ibarat pengadil yang mengendalikan urusan persaingan antara calon-calon dan parti-parti politik semasa berlangsungnya pilihan raya.

Oleh itu SPR wajib pada setiap masa bersikap berkecuali - tanpa memihak dan kelihatan secara nyata tanpa ragu bersikap berkecuali - tanpa memihak.

Atas sifat berkecuali – tanpa memihak, SPR diberikan amanah dan kuasa untuk memastikan pilihan raya berlangsung, dan kelihatan tanpa ragu, berlangsung secara adil dan bebas; urusan pengundian dipermudahkan, dan rakyat tanpa gentar – tanpa tekanan – tanpa takut – tanpa gusar, bebas dan selesa mengundi secara rahsia.

11. Demi memastikan kedaulatan dan kemuliaan takhta pemerintahan tidak tercemar, Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai badan yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, wajib menjunjung titah ketaatsetiaan dengan menguruskan pilihan raya secara yang boleh dipercayai, bebas dan adil, berkecuali - tanpa memihak, serta mengamalkan kesaksamaan yang tidak boleh dipertikaikan dan ketelusan yang tidak akan diragui.

12. Kedua: Pengurusan Pilihan Raya. Istilah bebas dan adil merupakan dua kata keramat untuk menjamin kesuburan amalan demokrasi. Istilah bebas dan adil, tidak mempunyai definisi yang mudah dan sering kali digunakan secara subjektif. Istilah bebas dan adil, walaupun mudah disebut, tetapi menghadapi piawaian paling rumit dan kompleks untuk dicapai dan diamalkan.

13. Terdapat piawaian antarabangsa yang menyediakan garis panduan kriteria bebas dan adil dalam amalan pilihan raya.

Istilah bebas dan adil, digunakan secara rasmi dalam dokumen antarabangsa pada tahun 1994, apabila Inter-Parliamentary Union (IPU) menerima pakai Deklarasi Kriteria Pilihan Raya Bebas dan Adil.

Pengisytiharan tersebut menegaskan bahawa di mana-mana negeri, pihak berkuasa kerajaan mestilah berasal daripada kehendak rakyat yang diterjemahkan melalui pilihan raya yang tulen, bebas dan adil, yang diadakan secara berkala berdasarkan hak mengundi secara bebas, sama rata dan rahsia.

14. Secara umumnya, istilah pilihan raya yang bebas dan adil merujuk kepada pilihan raya yang berkala, tulen, bersih, telus, serta kompetitif, selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan asasi.

Pilihan Raya yang bebas dan adil membolehkan semua warganegara, parti, calon dan media menikmati hak asasi mereka, merangkumi kebebasan bersuara, berpersatuan, bergerak dan berhimpun; bebas daripada ugutan, bebas dari tekanan dan bebas dari keganasan; serta bebas mendapat akses kepada maklumat dan kemudahan media.

Pilihan raya yang bebas dan adil memastikan bahawa semua calon dan semua parti bersaing berasaskan layanan yang saksama, berpandukan undang-undang, dalam gelanggang dan padang permainan yang sama rata.

Di bawah prinsip ini, perlu ada pemisahan yang jelas antara badan kerajaan dan parti politik dan garis panduan yang menetapkan kemudahan awam dan sumber yang tidak boleh digunakan secara tidak adil.

Pilihan raya yang bebas dan adil, turut melindungi hak semua rakyat untuk mendapat keadilan, dan hak untuk mengundi secara rahsia.

15. Untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil, para petugas pilihan raya hendaklah berperanan sebagai fasilitator membantu dan memudahkan calon yang berhasrat menawarkan diri mahu bertanding, dan rakyat yang mahu mengundi, bermula daripada proses dan prosedur yang dipermudahkan, begitu juga dalam menetapkan tarikh, tempat dan waktu pilihan raya dilangsungkan.


BACA: 

Pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil akan meningkatkan keyakinan pengundi yang diperlihatkan melalui peratusan tinggi rakyat yang turun mengundi.

Pelaksanaan pilihan raya yang bebas dan adil akan menjadi penanda aras ketulenan dan kayu ukur kesungguhan budaya demokrasi yang diamalkan oleh sesebuah negara.

Sesuatu pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil bukan sahaja berjaya meningkatkan keyakinan dan penyertaan rakyat, malah menjadi satu piawaian antarabangsa akan tahap keutuhan hak asasi seseorang warganegara.

Cara sesuatu pilihan raya dikendalikan turut mencerminkan tahap pemikiran, tahap intelek, tahap kematangan, tahap meluhurkan perlembagaan dan tahap mendaulatkan undang-undang, juga tahap integriti, keikhlasan dan amalan ketelusan pentadbiran sesebuah negara.

16. Ketiga: Tanggungjawab politik; Memilih kerajaan ialah urusan yang serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung pada mereka yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan.

Perkara yang menjadi pertimbangan ketika melakukan pengundian hendaklah berasaskan pemikiran yang rasional berteraskan fakta, bukannya berasaskan sentimen dan emosi.

Socrates pernah mengingatkan, “hanya mereka yang berupaya memikirkan isu secara rasional dan mendalam, yang wajar diberikan hak mengundi”.

Socrates amat memahami betapa mudahnya calon-calon yang menawarkan diri untuk diundi, mengeksploitasi selera pengundi dengan memberikan penyelesaian yang berbunyi mudah, menjanjikan perkara yang enak didengari telinga.

Socrates menyuarakan peringatan akan bahayanya pemerintahan yang diasaskan pada hukum rimba dan demagog (mob rule and demagoguery).

Ahli Falsafah dan pengarang British, Alain de Botton menganggap kebaikan demokrasi, tertakluk kepada ekosistem pendidikan yang berada di persekitarannya.

17. Tarikh 16 Julai 2019, merupakan satu lagi detik penting dalam sejarah politik negara. Tiga puluh dua ahli Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-undang menurunkan had usia layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Ahli-ahli Dewan Rakyat baik daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang, telah mencapai kata sepakat, meluluskan Rang Undang-undang tersebut.

Parlimen Malaysia, di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebulat suara bersetuju dengan cadangan Pindaan kepada Perkara 119(1)(a) dan Perkara 119(4)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang membolehkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk didaftarkan secara automatik sebagai pengundi.

18. Susulan pindaan tersebut, lebih tujuh juta orang dijangka terdaftar secara automatik sebagai pengundi baharu dalam Pilihan Raya Umum Kelima Belas; meningkatkan bilangan pengundi lebih 50 peratus daripada bilangan pengundi berdaftar semasa Pilihan Raya Umum Keempat Belas.

Diunjurkan, seramai 15 juta atau 66 peratus pengundi berada dalam zon usia 18 hingga 40 tahun; bermakna golongan muda akan memiliki suara politik yang lebih dominan untuk memilih pemimpin dan menentukan kerajaan.

Keputusan tersebut hendaklah dilihat bukan sekadar memberi hak mengundi kepada golongan remaja, tetapi ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk memilih pemimpin dan mencorakkan kerajaan.

19. Anak muda perlu dibimbing agar memiliki tahap literasi politik yang berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat lagi membina, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.

Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki jati diri dan nilai-nilai moral yang betul, berpaksikan undang-undang, menolak rasuah dan sogokan, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah, bijaksana mengenali antara permata dengan kaca.

Anak muda perlu diberikan cukup pendedahan dan pengetahuan mengenai elemen-elemen kenegaraan dan tatanegara. Untuk itu, pembentukan sahsiah dan jati diri, perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara.

20. Keempat: Tanggungjawab membina negara-bangsa. Negara -bangsa ditakrif sebagai negara berdaulat yang didiami oleh sesuatu bangsa.

Perjuangan membentuk sebuah negara merdeka, Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia yang berdaulat dirintis melalui gabungan aspirasi dan usaha bersama pelbagai pihak, merentasi wilayah, negeri, darjat, agama, kaum dan budaya.

Ketika Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka pada 31 Ogos 1957, disusuli dengan Malaysia pada 16 September 1963, yang dilahirkan ialah sebuah negara baru yang mempunyai kedaulatan ke atas warga dan wilayah yang ditetapkan tetapi bukannya bangsa.

Membina negara-bangsa ialah proses yang kompleks – proses yang rumit – proses yang berterusan – proses yang masih dirintis, proses yang masih menghadapi pelbagai cabaran, dan sangat dibimbangkan cabaran yang dihadapi dalam usaha membina negara-bangsa yang teguh bersatu – kukuh berpadu, kini menghadapi ujian lebih besar dan bertambah rumit.

Semakin bertambah usia negara, warga bagaikan semakin terpisah.’

21. Memupuk perpaduan antara warga yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya dan taraf sosioekonomi merupakan agenda besar lagi penting demi kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera.

Isu-isu sensasi yang menyalakan bara perkauman serta meniupkan sentimen agama yang dieksploitasi dalam hasrat meraih undi semasa berkempen, laksana racun yang mengembalikan bisa pertelingkahan, dan pastinya menambah sulitkan usaha untuk penyatupaduan; malah akan lebih memisahkan dan merenggangkan hubungan warga yang berbilang latar belakang, sekali gus membatalkan (nullify) apa juga usaha yang telah dicapai untuk membina sebuah negara-bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera.

22. Tanggungjawab besar memastikan pilihan raya tidak menjadi medan pencetus yang boleh menggugat kestabilan negara dan menjejaskan keharmonian warga, terletak di bahu barisan pimpinan kafilah semua parti politik.

Negara-bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera, lebih besar nilainya dan tidak harus dileburkan dengan pendekatan politik yang memilih untuk berkerat rotan – berpatah arang, hingga akhirnya nanti yang menang menjadi arang – yang kalah menjadi abu.

23. Kelima: Majlis Raja-Raja. Pilihan raya diadakan bukan sahaja untuk memilih ahli-ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan di peringkat persekutuan, malah turut diadakan untuk memilih ahliahli Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri.

Meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya ialah badan yang ditubuhkan di peringkat persekutuan, namun urusan pilihan raya di peringkat negeri turut dikendalikan oleh Suruhanjaya yang sama.

Oleh itu amatlah relevan untuk Majlis Raja-Raja dirunding oleh Yang di-Pertuan Agong dalam urusan melantik Pengerusi dan ahli-ahli SPR.

24. Institusi Raja bukan sebuah entiti berbentuk ornamen hiasan untuk menyempurnakan peranan bersifat upacara atau ceremonial.

Institusi Raja ialah entiti yang termaktub di dalam Perlembagaan untuk memenuhi amanah dan menyempurnakan peranan mekanisme semak dan imbang, mengimbangkan pelbagai perkara yang diangkat sembah untuk pertimbangan takhta.

Sejak zaman berzaman dan secara tradisi, takhta menjadi tempat rujukan dan tempat rakyat jelata memohon perlindungan dan mendapatkan keadilan.

Takhta secara bijaksana - secara adil – secara saksama perlu memberikan ruang untuk mendengar suara dan menimbangkan rintihan semua pihak.

Undi 18: Peluang beri kuasa anak muda pilih pemimpin, corak kerajaan - Sultan Perak

Takhta mengamati secara teliti dinamik politik yang berlaku, dan berpendirian amat perlu menetapkan paksi yang mengupayakan takhta melakarkan ruang peranan yang relevan dalam era semasa agar takhta dilihat berperanan adil dan saksama oleh rakyat jelata, dan agar takhta kekal dinamik serta bertenaga untuk menangani tuntutan dan keperluan warga, terutama dalam memenuhi peranan sebagai mekanisme semak dan imbang serta instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

Oleh yang demikian, bersama Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja wajib memenuhi tanggungjawab yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan untuk memastikan SPR mendapat kepercayaan awam.

SPR wajib pada setiap masa bersikap berkecuali - Sultan Perak

25. Rakyat kini semakin terpelajar, semakin memiliki tahap literasi yang tinggi; rakyat semakin terdedah kepada pelbagai sumber pengetahuan dan semakin mudah mendapat akses kepada maklumat.

Rakyat tidak lagi mudah memamah berita dan meneguk cerita.

Dalam menghadapi senario semasa dan menuju ke hadapan, adalah penting untuk dibina persefahaman dalam semangat saling memahami - saling menghormati antara institusi takhta yang diwakili oleh Raja-Raja Pemerintah dengan institusi rakyat yang diwakili oleh cabang perundangan dan cabang eksekutif, di samping peranan cabang kehakiman yang bebas daripada sebarang pengaruh kuasa eksekutif, mengolah formula yang mendapat kepercayaan awam dalam urusan pelantikan pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, di samping memastikan pilihan raya diuruskan secara bebas - secara adil, dan tanpa ragu turut kelihatan diuruskan secara bebas - secara adil.

26. PILIHAN RAYA DEMOKRASI MALAYSIA, penerbitan yang dihasilkan oleh Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman bersama Dr. G. Manimaran. Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman telah menyuratkan apa yang tersirat, mendokumentasikan tacit knowledge berasaskan pengalaman lebih tiga puluh tahun berkhidmat di Suruhanjaya 17 Pilihan Raya (SPR), bermula sebagai setiausaha, kemudiannya sebagai Pengerusi SPR, dan pasca Pilihan Raya Umum Keempat Belas, dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya; sementara Dr. G. Manimaran, ialah seorang wartawan yang berpengalaman membuat liputan politik dan pilihan raya sejak tahun 1991, juga dilantik oleh Kerajaan Malaysia sebagai ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya.

27. Penerbitan yang dihasilkan ini, bertujuan mengilmukan rakyat supaya lebih berpengetahuan dan lebih memahami peranan mereka sebagai pengundi.

Sedarilah kejayaan mahupun kegagalan sesebuah kerajaan bermula dengan sikap, bermula dengan budaya, bermula dengan nilai, bermula dengan harga diri yang mempengaruhi pertimbangan pengundi ketika memilih pemimpin.

Semoga penerbitan ini menjadi sebahagian daripada bahan rujukan yang dapat membantu mencelikkan mata hati para pengundi.

Beta menzahirkan penghargaan atas usaha Tan Sri Ab. Rashid Ab Rahman dan Dr. G. Manimaran, begitu juga kepada Penerbit Universiti Malaya.

Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta melancarkan buku “PILIHAN RAYA DEMOKRASI MALAYSIA”