KUALA LUMPUR: Penyertaan pengundi baharu dalam sistem demokrasi negara ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk memilih pemimpin dan mencorakkan kerajaan, titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menyentuh mengenai aspek tanggungjawab politik, Sultan Perak bertitah, keputusan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik bagi mereka yang berusia 18 tahun hendaklah dilihat bukan sekadar memberi hak mengundi kepada golongan remaja.

Sebaliknya, baginda menegaskan, anak muda perlu dibimbing agar memiliki tahap literasi politik yang berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat lagi membina.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah. kumpulan tersebut juga perlu memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan serta elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.

"Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki jati diri dan nilai-nilai moral yang betul, berpaksikan undang-undang, menolak rasuah dan sogokan, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah, bijaksana mengenali antara permata dengan kaca.

"Anak muda perlu diberikan cukup pendedahan dan pengetahuan mengenai elemen-elemen kenegaraan dan tatanegara. Untuk itu, pembentukan sahsiah dan jati diri, perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berkenan melancarkan buku 'Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir' di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, titah Sultan Nazrin yang mengandungi 15 bab dan 760 halaman, merupakan satu dokumentasi yang merekodkan pelbagai aspek pilihan raya, merangkumi sejarah, perundangan, proses, ulasan, pandangan serta saranan.

Ia ditulis oleh bekas Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman bersama Dr G Manimaran dan diterbitkan oleh Universiti Malaya (UM).

Berucap lanjut, Sultan Nazrin bertitah, proses memilih kerajaan merupakan satu urusan yang serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung pada mereka yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan.

Justeru, perkara yang menjadi pertimbangan ketika melakukan pengundian hendaklah berasaskan pemikiran yang rasional berteraskan fakta, dan bukannya berasaskan sentimen serta emosi, tambah baginda.

"Socrates pernah mengingatkan, “hanya mereka yang berupaya memikirkan isu secara rasional dan mendalam, yang wajar diberikan hak mengundi”. Socrates amat memahami betapa mudahnya calon-calon yang menawarkan diri untuk diundi, mengeksploitasi selera pengundi dengan memberikan penyelesaian yang berbunyi mudah, menjanjikan perkara yang enak didengari telinga.

"Socrates menyuarakan peringatan akan bahayanya pemerintahan yang diasaskan pada hukum rimba dan demagog (mob rule and demagoguery). Ahli Falsafah dan pengarang British, Allan de 11 Botton menganggap kebaikan demokrasi, tertakluk kepada ekosistem pendidikan yang berada di persekitarannya," titah Sultan Nazrin.

Dalam ucapan yang sama, Sultan Nazrin turut menyentuh mengenai empat perkara lain iaitu Keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); Pengurusan Pilihan Raya; Tanggungjawab Membina Negara-Bangsa; serta Majlis Raja-Raja.

Mengenai Keanggotaan SPR, Sultan Nazrin bertitah ia berpandukan Perkara 114 (1) dan 114(2) Perlembagaan Persekutuan, iaitu berfungsi sebagai sebuah badan yang bebas daripada pengaruh kerajaan mahupun parti-parti politik.

Pengurusan Pilihan Raya pula, Sultan Nazrin antaranya bertitah, pelaksanaan pilihan raya yang bebas dan adil merupakan dua kata keramat untuk menjamin kesuburan amalan demokrasi.

Ia juga, titah baginda, akan meningkatkan keyakinan pengundi yang diperlihatkan melalui peratusan tinggi rakyat yang turun mengundi serta menjadi penanda aras ketulenan dan kayu ukur kesungguhan budaya demokrasi yang diamalkan oleh sesebuah negara.

Pilihan raya yang bebas dan adil, titah baginda, membolehkan semua warganegara, parti, calon dan media menikmati hak asasi mereka, merangkumi kebebasan bersuara, berpersatuan, bergerak dan berhimpun; bebas daripada ugutan, bebas dari tekanan dan bebas dari keganasan; serta bebas mendapat akses kepada maklumat dan kemudahan media.

"Di bawah prinsip ini, perlu ada pemisahan yang jelas antara badan kerajaan dan parti politik, dan garis panduan yang menetapkan kemudahan awam dan sumber yang tidak boleh digunakan secara tidak adil.

"Pilihan raya yang bebas dan adil, turut melindungi hak semua rakyat untuk mendapat keadilan, dan hak untuk mengundi secara rahsia.

"Untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil, para petugas pilihan raya hendaklah berperanan sebagai fasilitator membantu dan memudahkan calon yang berhasrat menawarkan diri mahu bertanding, dan rakyat yang mahu mengundi, bermula daripada proses dan prosedur yang dipermudahkan, begitu juga dalam menetapkan tarikh, tempat dan waktu pilihan raya dilangsungkan," titah Sultan Nazrin lagi.

Selain itu dari segi aspek Tanggungjawab Membina Negara-Bangsa, Sultan Nazrin bertitah agar perpaduan dalam pelbagai kaum, agama, bangsa dan latar  sosioekonomi dapat dibentuk, sebagai sebuah agenda besar demi kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni serta sejahtera.

"Tanggungjawab besar memastikan pilihan raya tidak menjadi medan pencetus yang boleh menggugat kestabilan negara dan menjejaskan keharmonian warga, terletak di bahu barisan pimpinan kafilah semua parti politik.

"Negara-bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera, lebih besar nilainya dan tidak harus dileburkan dengan pendekatan politik yang memilih untuk berkerat rotan – berpatah arang, hingga akhirnya nanti yang menang menjadi arang – yang kalah menjadi abu," titah baginda.

Dalam masa yang sama, Sultan Nazrin menyifatkan amat relevan untuk Majlis Raja-Raja dirunding oleh Yang di-Pertuan Agong dalam urusan melantik Pengerusi dan ahli-ahli SPR.

Titah baginda, Institusi Raja bukan sebuah entiti berbentuk ornamen hiasan untuk menyempurnakan peranan bersifat upacara atau ceremonial, sebaliknya ia entiti yang termaktub di dalam Perlembagaan untuk memenuhi amanah dan menyempurnakan peranan mekanisme semak dan imbang.

"Oleh yang demikian, bersama Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja wajib memenuhi tanggungjawab yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan untuk memastikan SPR mendapat kepercayaan awam," titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin menzahirkan harapan agar penerbitan Buku 'Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir' dapat mengilmukan rakyat supaya lebih berpengetahuan dan lebih memahami peranan mereka sebagai pengundi.

"Sedarilah kejayaan mahupun kegagalan sesebuah kerajaan bermula dengan sikap, bermula dengan budaya, bermula dengan nilai, bermula dengan harga diri yang mempengaruhi pertimbangan pengundi ketika memilih pemimpin.

"Semoga penerbitan ini menjadi sebahagian daripada bahan rujukan yang dapat membantu mencelikkan mata hati para pengundi. Beta menzahirkan penghargaan atas usaha Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dan Dr G Manimaran, begitu juga kepada penerbit Universiti Malaya," titah baginda lagi.

Ab Rashid berpengalaman lebih 32 tahun berkhidmat di SPR bermula sebagai Setiausaha sebelum dilantik sebagai Pengerusi SPR dari tahun 2000 hingga 2008.

Sementara itu, G Manimaran merupakan seorang wartawan yang berpengalaman lebih 22 tahun termasuk membuat liputan politik dan pilihan raya sejak tahun 1991.

Beliau juga dilantik oleh kerajaan sebagai ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya.