NATIONAL
Pelanggaran kerahsiaan NFCorp, Public Bank kalah rayuan terakhir

Panel tiga hakim menolak rayuan pihak bank itu untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada Ogos 2023. -Gambar hiasan/Pexels
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Public Bank Berhad bertanggungjawab atas pelanggaran kerahsiaan melibatkan National Feedlot Corporation (NFCorp) dan empat pihak yang lain.
Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Public Bank Berhad bertanggungjawab atas pelanggaran kerahsiaan maklumat perbankan milik NFCorp dan empat pihak lain.
- Mahkamah turut membenarkan rayuan balas NFCorp untuk membatalkan keputusan terdahulu yang hanya memberikan ganti rugi nominal, dan akan menentukan jumlah ganti rugi pada 18 Jun 2025.
- NFCorp menuntut RM60 juta sebagai ganti rugi am dan RM250 juta masing-masing sebagai ganti rugi teruk dan teladan, susulan kebocoran maklumat yang didakwa menyebabkan kerosakan reputasi dan kerugian perniagaan.
Mahkamah turut memerintahkan Public Bank membayar kos guaman RM300,000.
Sementara itu, mahkamah membenarkan rayuan balas NFCorp, Pengerusinya Datuk Mohamad Salleh Ismail dan tiga syarikat subsidiari iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Real Food Company Sdn Bhd, untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini hanya memberikan ganti rugi nominal kepada mereka.
Bagaimanapun, Hakim Hasnah menetapkan 18 Jun tahun ini untuk menyampaikan keputusan mahkamah berhubung jumlah ganti rugi, dengan menyatakan bahawa mahkamah memerlukan masa untuk meneliti dokumen-dokumen yang berkaitan.
Pada prosiding hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili NFCorp dan empat pihak lain, mengemukakan bahawa anak guamnya menuntut RM60 juta sebagai ganti rugi am dan masing-masing RM250 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan.
Ketika menolak rayuan bank, Hakim Hasnah memutuskan bahawa undang-undang common law tidak terpakai dalam kes ini.
NFCorp dan empat pihak lain telah memfailkan saman terhadap bank tersebut pada tahun 2012 berhubung kebocoran maklumat perbankan mereka.
Mahkamah Tinggi telah menolak saman itu pada tahun 2019, namun Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan dikemukakan oleh NFCorp dan empat pihak terbabit.
Namun begitu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa memandangkan NFCorp dan empat pihak lain berjaya membuktikan liabiliti tetapi gagal membuktikan kerugian, mahkamah memutuskan untuk memberikan ganti rugi nominal sebanyak RM10,000.
Dalam saman itu, NFCorp dan empat pihak lain mendakwa pihak bank telah melanggar kerahsiaan dengan membenarkan butiran transaksi perbankan mereka didedahkan oleh Rafizi Ramli.
Mereka turut mendakwa bahawa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka telah mengalami kerosakan dan kerugian yang tidak dapat diperbaiki, akibat pelanggaran di bawah Akta Institusi Kewangan dan Perbankan.
Dalam prosiding hari ini, peguam bank Chan Kok Keong berkata hanya ganti rugi nominal sepatutnya diberikan kepada NFCorp dan empat pihak lain, kerana tiada bukti yang kukuh untuk membuktikan kerugian dan kerosakan yang dialami oleh mereka.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami