Skip to main content

Dunia

AS, UK dan Australia bangunkan dron bawah laut lindungi kabel dasar laut

Australian Defence Minister Richard Marles, British Defence Secretary John Healey and U.S. Secretary of Defense Pete Hegseth pose during an AUKUS Defence ministers' press huddle at the U.S. Embassy in Singapore, May 30, 2026. REUTERS/Edgar Su
Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, Setiausaha Pertahanan UK, John Healey, dan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, bergambar semasa sidang media menteri pertahanan AUKUS di Kedutaan AS di Singapura. - Foto REUTERS

SINGAPURA: Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia bersetuju membangunkan teknologi dron bawah laut bagi melindungi kabel dasar laut serta memperkukuh keupayaan pertahanan melalui pakatan keselamatan tiga hala dikenali sebagai AUKUS.

Pengumuman itu dibuat oleh menteri pertahanan ketiga-tiga negara sempena sidang kemuncak keselamatan Shangri-La Dialogue di Singapura, sekali gus menandakan usaha dipercepatkan selepas projek AUKUS sebelum ini dikritik kerana kemajuan yang perlahan.

Teknologi yang dikenali sebagai 'kenderaan bawah laut tanpa pemandu (UUV)' dijangka siap seawal tahun depan.

Walaupun kos keseluruhan projek belum diumumkan, Setiausaha Pertahanan UK, John Healey, memaklumkan negaranya akan menyumbang sebanyak AS$200 juta bagi menjayakan inisiatif tersebut.

Mengulas kritikan terhadap perkembangan AUKUS, Healey mengakui sebelum ini projek berkenaan kurang menunjukkan hasil nyata.

“Terlalu lama dalam AUKUS, kita bercakap terlalu banyak dan melakukan terlalu sedikit,” katanya, sambil menegaskan keadaan itu kini berubah di bawah kepimpinan tiga kerajaan terbabit.

AUKUS yang ditubuhkan pada 2021 merupakan pakatan pertahanan yang memberi tumpuan kepada pembangunan kapal selam berkuasa nuklear serta perkongsian kepakaran ketenteraan.

Pakatan itu dilihat sebagai usaha strategik untuk mengekang peningkatan pengaruh maritim China di rantau Indo-Pasifik dan ketegangan di kawasan pertikaian seperti Laut China Selatan.

Projek dron bawah laut ini merupakan inisiatif utama pertama di bawah 'Pillar Two AUKUS', yang menumpukan kepada pembangunan teknologi pertahanan maju termasuk kecerdasan buatan (AI), senjata hipersonik dan robotik bawah laut.

Menurut kenyataan bersama, projek tersebut akan merangkumi pembangunan sistem dan muatan berteknologi tinggi untuk UUV yang mampu menjalankan pelbagai misi seperti perlindungan infrastruktur dasar laut, serangan ketenteraan, pemantauan, risikan serta operasi logistik.

Selain itu, sistem sensor dan persenjataan juga akan dibangunkan bagi meningkatkan keupayaan operasi ketenteraan ketiga-tiga negara.

Healey berkata, teknologi itu akan membantu menghadapi ancaman terhadap kabel komunikasi dan saluran paip di dasar laut, yang menjadi asas kepada kehidupan moden.

Kabel dasar laut memainkan peranan kritikal dalam sistem komunikasi global, termasuk penghantaran data internet dan tenaga. Justeru, sebarang gangguan terhadap infrastruktur ini boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara.

Pengumuman tersebut dibuat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai ancaman terhadap kabel bawah laut.

UK sebelum ini menuduh Rusia menjalankan operasi rahsia berhampiran kabel dan paip di perairan utara negara itu, walaupun dakwaan berkenaan dinafikan Moscow.

Dalam masa sama, kapal yang dikaitkan dengan China turut disyaki terlibat dalam beberapa insiden kerosakan kabel dasar laut di sekitar Taiwan dan wilayah Eropah, selain beberapa laporan kerosakan kabel di Laut Baltik.

Bagaimanapun, ketiga-tiga menteri pertahanan tidak mengesahkan sama ada pembangunan UUV ini secara khusus menyasarkan aktiviti Rusia atau China di dasar laut.

Mereka juga tidak memberikan respons langsung terhadap soalan mengenai kelewatan projek AUKUS.

Di bawah 'Pillar One AUKUS', UK dan Australia juga sedang membangunkan kapal selam berkuasa nuklear untuk digunakan oleh tentera laut masing-masing.

Projek besar itu dijadualkan siap sekitar dekad 2040-an, dengan AS dan UK akan menempatkan kapal selam sedia ada di Australia sebagai langkah sementara.

Bagi Australia, kerjasama ini dilihat sebagai peningkatan besar keupayaan ketenteraan negara itu, apabila menjadi antara segelintir negara yang memperoleh teknologi propulsi nuklear dari Washington.

Walaupun berdepan persoalan mengenai tempoh pelaksanaan dan kos, pemimpin pertahanan ketiga-tiga negara menegaskan projek dron bawah laut ini merupakan langkah penting untuk mempercepatkan penyampaian teknologi ketenteraan canggih dan memperkukuh keselamatan maritim global.
 

 

Must Watch Video

Advertisement