Pelantikan MB baharu Perlis uji keupayaan PN pulihkan keyakinan rakyat - Penganalisis

Abu Bakar (kanan) bersalaman dengan Mohd Shukri selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis yang disempurnakan oleh Tuanku Syed Sirajuddin, di Istana Arau semalam. — fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu dengan perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, menunjukkan krisis berkenaan diurus secara sah dan terkawal.
Ringkasan AI
- Pelantikan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis oleh Raja Perlis menunjukkan penyelesaian krisis dalaman negeri secara sah dan terkawal.
- Penganalisis politik menekankan bahawa perubahan kepimpinan itu berisiko ditafsir sebagai pertukaran kuasa elit tanpa mandat baharu, yang boleh menjejaskan persepsi rakyat terhadap kestabilan politik Perlis.
- Kestabilan jangka panjang negeri bergantung kepada keupayaan Menteri Besar baharu mengurus hubungan antara parti serta memulihkan krisis kepercayaan dalaman.
Mengulas sama ada pelantikan itu mencukupi untuk meredakan krisis, Awang Azman yang juga Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia berkata langkah itu lebih bersifat kawalan kerosakan dan bukannya penyelesaian menyeluruh kerana walaupun menghentikan krisis pentadbiran, tindakan itu tidak serta-merta memulihkan defisit kepercayaan dalam PN.
Sementara itu, penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata keputusan melantik wakil Bersatu sebagai Menteri Besar mencerminkan keutamaan diberikan kepada kestabilan dan sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan krisis dalaman yang berlaku.
Menurut beliau, langkah tidak mengekalkan Pas sebagai peneraju pentadbiran menunjukkan pertimbangan pragmatik diambil bagi memastikan kerajaan negeri terus berfungsi, namun pada masa sama mendedahkan ketegangan dalaman PN, khususnya hubungan Pas-Bersatu, yang perlu diurus dengan baik bagi mengelakkan krisis berulang.
Pandangan sama turut dikongsi Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban Shahidah Abdul Razak, yang berkata kestabilan jangka panjang bergantung pada keupayaan Menteri Besar baharu mengurus hubungan antara parti serta memulihkan krisis kepercayaan dalaman.
Abu Bakar, 57, dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu selepas mengangkat sumpah jawatan pada 4.04 petang tadi, susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli yang juga ADUN Sanglang pada 25 Dis lepas secara sukarela atas faktor kesihatan.
Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi PN Perlis dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perlis itu memenangi kerusi DUN Kuala Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 1,254 undi.
Pada 25 Dis juga, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Rus'sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Kekosongan luar jangka itu berlaku selepas Pas pada 24 Dis mengumumkan keahlian tiga ADUN parti berkenaan, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti, susulan tindakan menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Pada PRU15, PN Perlis memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN, dengan sembilan kerusi dimenangi ADUN Pas dan lima oleh Bersatu, manakala Pakatan Harapan (PH) menerusi PKR memenangi satu kerusi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


