Pelaporan beretika boleh menyelamatkan nyawa - Befrienders

Liputan media tidak sensitif boleh memberi kesan mendalam kepada individu yang terdedah. - Foto Facebook/KPWKM
GEORGE TOWN: Media memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman masyarakat tentang bunuh diri dan kesihatan mental, dengan pelaporan beretika dapat menyelamatkan nyawa.
Pengerusi Befrienders Pulau Pinang Saras Pillay berkata liputan media tidak sensitif boleh memberi kesan mendalam kepada individu yang terdedah, sementara laporan beretika dan bertanggungjawab memberi harapan serta menggalakkan mereka mendapatkan bantuan.
"Setiap artikel, tajuk dan perkataan mampu mempengaruhi. Kami tidak meminta media untuk mengelak daripada topik sukar, tetapi melakukannya dengan berhati-hati, belas kasihan dan bertanggungjawab.
"Mesej kami mudah iaitu setiap pelaporan beretika merupakan pencegahan bunuh diri. Kewartawanan yang bertanggungjawab boleh meningkatkan kesedaran, menggalakkan individu terlibat mendapatkan bantuan dan akhirnya menyelamatkan nyawa," katanya.Saras berkata demikian pada forum Mental Health Matters yang dianjurkan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pada Ahad.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama USM dan turut melibatkan forum bertajuk "Pelaporan Beretika Bunuh Diri Boleh Menyelamatkan Nyawa".
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi Zi Sen dan Timbalan Naib Canselor USM Prof Dr Azlan Amran.
Saras berkata dari Januari 2024 hingga September lepas, Befrienders Pulau Pinang menerima 15,602 panggilan dengan kebanyakannya daripada individu berusia lebih 60 tahun dan antara 41 hingga 50 tahun, selain terdapat peningkatan pemanggil lebih muda.
"Setiap panggilan menjadi peringatan bahawa masih ramai sedang bergelut dalam diam. Befrienders komited menyediakan ruang selamat, rahsia dan tanpa menghakimi kepada sesiapa berasa tertekan, putus asa atau keseorangan," katanya.
Beliau mengingatkan bunuh diri merupakan isu kesihatan awam dan bukan sekadar "cerita" perlu dilaporkan, selain menegaskan pelaporan beretika boleh mendidik orang ramai, mengurangkan stigma dan membantu penyembuhan individu terlibat.
"Apabila seseorang yang tertekan selesai membaca sesuatu artikel, mereka sepatutnya berasa mempunyai hubungan dan harapan, bukannya lebih terasing. Mereka perlu tahu ke mana untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Beliau berkata Befrienders, pertubuhan sokongan emosi yang mencegah bunuh diri, menyeru golongan profesional media, pencipta kandungan dan orang awam untuk melaporkan isu bunuh diri dengan empati serta bertanggungjawab bagi membantu memecahkan stigma dan menggalakkan perbincangan terbuka tentang kesihatan mental.
"Forum hari ini bukan sekadar perbincangan. Ia merupakan seruan untuk bertindak, sama ada kita pembuat dasar, golongan profesional kesihatan mental, pendidik, sukarelawan, pengamal media atau anggota masyarakat yang prihatin.
"Kita semua mempunyai peranan untuk mengurangkan stigma, meningkatkan akses kepada bantuan dan mewujudkan masyarakat yang sesiapa sahaja berasa selamat untuk mengatakan 'saya tidak okay,'" katanya.
Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Befrienders menerusi talian 03-76272929 atau Talian Kasih 15999.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami