KOTA BHARU: Aktivis yang memperjuangkan isu berkaitan komuniti pelarian Myanmar perlu memahami undang-undang dan bidang kuasa agensi penguat kuasa sebelum mengambil tindakan sendiri, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Beliau berkata, walaupun sesuatu tindakan itu didorong niat yang baik, kekurangan pemahaman undang-undang boleh menimbulkan masalah lain, termasuk apabila aktiviti yang dianjurkan menarik kehadiran orang ramai sehingga sukar dikawal.
“Niat dia (aktivis) mungkin betul tetapi sebenarnya isu kejahilan undang-undang itu sendiri. Kumpulan aktivis ini jahil undang-undang, mereka tidak faham undang-undang,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kelantan bagi Oktober 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, isu pengurusan pelarian Myanmar bukan perkara baharu, sebaliknya telah dibincangkan kerajaan sejak berpuluh tahun lepas, justeru penyelesaiannya perlu ditangani melalui pendekatan yang bersesuaian.
Menurut Mohd Yusoff, penghantaran pulang komuniti berkenaan bukan perkara mudah berikutan isu penerimaan mereka oleh negara asal atau negara lain manakala pengurusan pelarian memerlukan pertimbangan kerajaan serta hubungan antarabangsa.
Beliau ketika mengulas mengenai siasatan berkaitan sekumpulan aktivis media sosial yang menganjurkan aktiviti melibatkan komuniti pelarian Myanmar berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Mohd Yusoff berkata, kumpulan penganjur yang dianggarkan terdiri daripada 14 hingga 16 orang telah menguar-uarkan aktiviti berkenaan melalui media sosial sehingga menarik kehadiran orang ramai yang dianggarkan mencecah hampir 100 orang.
“Keadaan itu menyukarkan kawalan terhadap orang ramai, selain terdapat kejadian samun membabitkan seorang individu daripada komuniti pelarian Myanmar yang dipercayai dilakukan pihak lain yang turut hadir. Kerugian dalam kejadian samun di Jalan Dato' Pati di sini melibatkan rantai emas bernilai lebih RM1,000.
“Satu kes pecah rumah di Tanah Merah membabitkan kehilangan 12 jam tangan, namun butiran lanjut mengenai kes berkenaan akan diberikan kemudian,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, polis turut merampas telefon bimbit individu berkaitan bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu siasatan.
Beliau berkata, tindakan polis dibuat berdasarkan laporan yang diterima dan hasil siasatan manakala prosedur seperti pengambilan cap jari serta kawad cam adalah sebahagian daripada proses siasatan mengikut keperluan kes.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff turut mengingatkan orang ramai supaya menyalurkan aduan berkaitan kesalahan mengikut bidang kuasa agensi masing-masing, termasuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi isu imigresen dan pihak berkuasa tempatan bagi kesalahan berkaitan perniagaan atau premis.
Mengenai komuniti pelarian Myanmar di Kelantan, beliau berkata, terdapat kira-kira 8,021 orang di negeri itu dan pihak polis menjalankan pemantauan melalui risikan di setiap daerah.
Mohd Yusoff turut menyentuh cadangan pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), yang menurutnya membolehkan pelarian didaftarkan dan dikenal pasti melalui kaedah biometrik, termasuk cap jari, bagi memudahkan pengenalpastian sekiranya berlaku kesalahan jenayah.
Beliau bagaimanapun berkata, isu berkenaan perlu ditangani melalui pendekatan kerajaan dan kerjasama agensi berkaitan, bukannya tindakan sendiri oleh mana-mana kumpulan.
-- BERNAMA