BUKIT MERTAJAM: Seorang pelatih Pusat Serenti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang ditemui mati tergantung di dalam tandas.

Dalam kejadian pada Khamis malam, mayat pelatih berusia 36 tahun itu ditemui seorang petugas yang sedang membuat rondaan di lokasi pelatih itu ditempatkan.

Turut ditemukan ialah sekeping nota memohon maaf kepada ahli keluarga dan melahirkan kekecewaan akibat ditinggalkan teman wanita.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pelatih yang masih bujang itu telah mendaftar secara sukarela ke pusat serenti berkenaan pada 19 April lalu.

Pelatih itu ditempatkan di Wad Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Mertajam selepas disahkan mengalami penyakit kudis buta.

“Si mati telah dirujuk ke Hospital Bukit Mertajam pada 21 Jun lalu kerana mengadu gatal-gatal dan doktor di hospital berkenaan mengesahkan si mati mempunyai penyakit kudis buta dan menyarankan untuk dia diasingkan supaya tidak berjangkit dengan pelatih lain.

“Si mati telah dipindahkan dari asrama ke wad dan tinggal seorang diri.

"Kali terakhir dia dilihat adalah pada 24 Jun lalu kira-kira jam 4.30 petang ketika petugas perubatan datang ke wad untuk mengingatkannya supaya makan ubat yang diberi oleh doktor,” kata Shafee.

Namun, pada jam 8.10 malam hari yang sama, petugas yang melakukan rondaan telah menemukannya dalam keadaan tergantung di dalam tandas sebelum membuat laporan polis.



"Doktor pakar mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dan tiada sebarang kecederaan fizikal pada tubuh badan si mati,” kata Shafee dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV), namun polis menemui sehelai nota di dalam sebuah buku yang dipercayai ditulis oleh si mati.

“Kandungan surat tersebut adalah si mati minta maaf kepada emak kerana menyusahkan keluarga dan telah datang ke pusat serenti untuk berubah demi teman wanita.

"Namun teman wanita telah berjumpa lelaki lain menyebabkan si mati berasa kecewa dan tidak akan menyusahkan lagi,” ujar Shafee.

Hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod kesalahan berkaitan dadah.

Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR).


Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.


Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.