PADANG BESAR: Golongan wanita muda yang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2026 secara sukarela menyifatkan ia sebagai peluang untuk menimba pengalaman baharu dan menguasai kemahiran ikhtiar hidup.
Peserta dari Perlis Alia Maisara Noorizun, 23, berkata memilih untuk menyertai program itu secara sukarela bagi memanfaatkan cuti semester selama tiga bulan untuk memperoleh ilmu baharu manakala kembarnya Alia Maizura peserta terpilih.
“Saya mahu mengisi masa cuti semester dengan aktiviti lebih berfaedah yang mendorong saya menyertai PLKN. Daripada duduk di rumah sahaja, lebih baik saya tambah ilmu dan pengalaman baharu,” katanya.
Penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu berkata demikian kepada pemberita pada sesi lapor diri pelatih wanita PLKN 3.0 Siri 3/2026 di Kem 504 Askar Wataniah (AW), Bukit Keteri dekat sini hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Brigedier Jeneral Samad Igom turut hadir meninjau proses pendaftaran pelatih di kem itu.
Alia Maisara juga berharap penyertaannya dalam PLKN dapat membentuk dirinya supaya lebih berdisiplin dalam kehidupan seharian.
Berkongsi pendapat sama ialah pelatih dari Selangor, B. Yashini, 24, yang berkata menyertai program itu secara sukarela untuk mempelajari ilmu ikhtiar hidup selain membentuk jati diri yang lebih baik sebagai golongan muda.
Seorang lagi pelatih dari Selangor, Nurul Ain Abu Darda, 22, berkata minat terhadap pengisian program itu menyebabkan dirinya memilih menyertai PLKN secara sukarela selain berharap dapat menimba pengalaman baharu.
Sementara itu, Samad berkata sebanyak 122 pelatih wanita melapor diri bagi menyertai PLKN 3.0 Siri 3/2026 di Kem 504 AW yang berlangsung selama 45 hari bermula hari ini.
Beliau berkata ia kali pertama PLKN dilaksanakan di kem itu dengan pelatih dari Kedah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 38 orang diikuti Perlis (32 orang), Pulau Pinang (23 orang) dan Perak (15 orang).
Sebanyak tujuh pelatih pula dari Selangor, Kelantan (tiga orang), Johor (dua orang) manakala Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan seorang peserta.
-- BERNAMA