Skip to main content

Malaysia

Peluang baharu industri automotif Malaysia

TANJONG MALIM, 31 Julai -- Pekerja melakukan demonstrasi pemasangan sempena Majlis Pelepasan (Line-Off) Proton e.MAS 7 PHEV Pemasangan Tempatan di Proton Tanjong Malim di sini, hari ini.  Kerjasama strategik antara Proton Holdings Bhd dan Geely Holding Group terus memperkukuh kedudukan pengeluar kereta nasional dalam industri automotif menerusi pemindahan teknologi, pembangunan harta intelek (IP), peningkatan kandungan tempatan serta pengukuhan ekosistem vendor tempatan.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERP
Perubahan landskap industri automobil Malaysia turut diterjemahkan melalui peningkatan pelaburan dalam sektor peralatan pengangkutan negara. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai hab automotif generasi baharu di rantau ini apabila transformasi industri global kini semakin dipacu oleh teknologi semikonduktor, elektronik, perisian dan sistem kenderaan pintar.

Ketika industri automotif dunia beralih daripada kebergantungan terhadap komponen mekanikal tradisional kepada teknologi digital dan elektrifikasi, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri menerusi ekosistem automotif yang matang serta kekuatan kukuh dalam sektor semikonduktor dan elektrik dan elektronik (E&E) yang telah dibangunkan sejak beberapa dekad lalu.

Perubahan landskap industri itu turut diterjemahkan melalui peningkatan pelaburan dalam sektor peralatan pengangkutan negara. Pada suku pertama 2026, Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM2.2 bilion menerusi 39 projek dalam sektor berkenaan yang dijangka menjana lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu. Daripada jumlah tersebut, pelaburan berkaitan kenderaan elektrik (EV) mencecah RM899.6 juta merangkumi 11 projek.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, perkembangan itu membuktikan Malaysia bukan sahaja kekal relevan dalam rantaian bekalan global, malah sedang bergerak ke arah menjadi pemain penting dalam pembangunan teknologi automotif masa depan.

"Daya saing Malaysia akan semakin bergantung kepada integrasi pembangunan bakat dengan penerapan teknologi. Pelaburan RM4.9 bilion dalam sektor peralatan pengangkutan yang diluluskan MIDA pada separuh pertama 2026 menunjukkan peralihan ini sedang berlaku. Kita bukan sekadar mengekalkan kedudukan dalam rantaian bekalan global, tetapi secara strategik membentuk semula rantaian tersebut melalui integrasi rantaian bekalan, pembangunan keupayaan tempatan dan kerjasama bernilai tinggi," katanya.

Menurut beliau, evolusi automotif masa kini membuka ruang yang lebih luas kepada negara untuk bergerak melangkaui peranan sebagai lokasi pemasangan kenderaan semata-mata, sebaliknya menjadi destinasi utama bagi pelaburan berteknologi tinggi yang merangkumi pembangunan komponen elektronik, sistem kuasa, sensor, automasi dan penyelesaian digital.

Kelebihan Malaysia dalam bidang semikonduktor dilihat sebagai antara faktor yang mampu membezakan negara berbanding pesaing serantau. Peranan cip kuasa, elektronik automotif dan sistem digital kini menjadi semakin kritikal apabila kenderaan moden berkembang menjadi platform mobiliti pintar yang bergantung kepada data dan teknologi terhubung.

Seiring perkembangan tersebut, pelbagai dasar dan inisiatif nasional termasuk Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim terus memperkukuhkan ekosistem yang menyokong pembangunan Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Dalam mempercepatkan pembangunan industri, MIDA turut memainkan peranan sebagai pemudah cara yang menghubungkan pelabur antarabangsa dengan syarikat tempatan, institusi pendidikan dan rakan teknologi bagi mewujudkan rantaian nilai yang lebih komprehensif serta berimpak tinggi.

"Peranan MIDA adalah memastikan satu pelaburan tidak hanya menghasilkan sebuah kilang. Apabila kami menghubungkan pengeluar global dengan pembekal Malaysia, universiti dan rakan teknologi, kami mengubah pelaburan itu menjadi keupayaan yang kekal di dalam negara. Itulah cara rantaian bekalan berkembang menjadi sebuah ekosistem," katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap pelaburan yang masuk bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, malah turut mempercepatkan pemindahan teknologi, pembangunan vendor tempatan serta peningkatan keupayaan industri negara secara menyeluruh.

Melihat kepada perkembangan semasa, Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk memanfaatkan peluang baharu dalam industri automotif global menerusi gabungan kekuatan sektor automotif, semikonduktor, E&E, pembuatan termaju dan bakat teknikal tempatan.

Dalam era mobiliti pintar dan elektrifikasi, kejayaan sesebuah negara tidak lagi diukur berdasarkan jumlah kenderaan yang dikeluarkan semata-mata, tetapi sejauh mana industri tempatan mampu menguasai teknologi bernilai tinggi serta menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global yang semakin canggih dan berdaya saing.

Dengan momentum pelaburan yang berterusan serta usaha memperkukuh hubungan antara industri, teknologi dan pembangunan bakat, Malaysia dilihat berada pada laluan yang tepat untuk muncul sebagai peneraju baharu dalam ekosistem automotif generasi akan datang di rantau ASEAN.

Must Watch Video

Advertisement