KUALA LUMPUR: Pemain kriket kebangsaan yang tidak setuju dengan cara Persatuan Kriket Malaysia (MCA) menukar jurulatih pasukan lelaki kriket kebangsaan Bilal Asad, bertindak memulau satu perlawanan dalam kejohanan bagi pemilihan kebangsaan yang diadakan semalam.

Kontrak Bilal yang merupakan bekas pemain antarabangsa Pakistan, tamat semalam (30 November).

Timbalan Ketua Pasukan Kebangsaan Virandeep Singh yang mengesahkan kejadian itu berkata pemain kriket kebangsaan, berasa kecewa dengan cara pengurusan tertinggi MCA menguruskan isu tersebut, yang dilakukan tanpa memaklum dan berbincang dengan Bilal dan pemain.

"Pihak pengurusan sepatutnya sekurang-kurangnya memaklumkan kepada kami mengenai perkara ini. Selama ini tiada sebarang pemakluman bertulis kepada jurulatih ataupun pasukan, dan secara tidak rasminya kami dengar tindakan itu disebabkan prestasi yang tidak berubah, sedangkan ia tidak benar kerana pasukan telah tunjukkan kemajuan.

"Kami mahu jelaskan bahawa bukan kami tidak akan bermain di bawah jurulatih baru yang MCA akan lantik, tentunya kami akan sokong jurulatih baru sepanjang lantikan beliau, kami akan bermain 100 peratus kerana kami sayang sukan ini lebih daripada yang lain.

"Tetapi kami sedih dengan cara mereka menguruskan situasi dan merasakan bahawa kami perlu tunjukkan pandangan kami. Kami merasakan tindakan itu tidak menghormati jurulatih kami, yang telah menyumbang dan berkorban selama sedekad dengan kriket Malaysia, dengan hanya memaklumkan kontraknya tidak disambung pada hari terakhirnya," katanya pada Bernama.

Terdahulu, media melaporkan bahawa satu perlawanan Kejohanan MCA 50 Over pada Khamis, yang menjadi kejohanan pemilihan pasukan kebangsaan, terpaksa dibatalkan selepas para pemain tidak mahu beraksi.

Virandeep, 24, berkata sejak Bilal menjadi jurulatih pasukan kebangsaan, Malaysia telah memperbaiki kedudukan dari tempat ke-39 ke kedudukan ke-25 dunia.

"Peratusan kemenangan keseluruhan di bawah jurulatih Bilal ialah 68.4 peratus, di mana kami menang 84 peratus daripda semua perlawanan di Malaysia. Kami berhadapan masalah di luar negara disebabkan kurangnya pendedahan dan peluang bermain menentang pasukan terbaik, seperti yang telah dimaklumkan kepada pengurusan sebelum ini.

"Sebahagian daripada perlawanan yang kami main di tempat lawan, kami hanya kalah sedikit, seperti kalah kepada Bangladesh di Sukan Asia Hangzhou, hanya dengan dua larian di suku akhir," katanya.

Bagaimanapun usaha untuk menghubungi Presiden Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali sehingga berita ini ditulis, tidak berjaya.

-- BERNAMA