JOHOR BAHRU: Forest City bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan terhadap operasi “Network School” yang didakwa disertai warga Israel.
Pemaju Forest City, Country Garden Pacificview Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan memandang serius isu itu dan menyokong pendirian kerajaan untuk tidak membenarkan Johor dijadikan pangkalan kepada sebarang aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang serta menjejaskan kedaulatan negara.
Menurut kenyataan itu, Forest City turut bersedia bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
“Forest City juga komited mengemukakan semua dokumen berkaitan yang diperlukan bagi membantu melancarkan siasatan dan mempercepat proses penentuan fakta secara menyeluruh, tepat serta berkesan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Forest City turut menegaskan pendirian toleransi sifar terhadap pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan premis, ketidakpatuhan peraturan imigresen serta aktiviti yang menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa KDN dan agensi berkaitan supaya menjalankan siasatan berhubung operasi "Network School" di Forest City yang didakwa disertai warga Israel.
Onn Hafiz berkata warga berkenaan dipercayai menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia bagi menyertai program tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.
Susulan itu, JIM menjalankan pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara di Forest City semalam dan semakan awal mendapati kesemua individu memiliki dokumen imigresen yang sah, namun siasatan lanjut masih diteruskan.
-- BERNAMA