MALAYSIA
Pemakaian beret, lencana kehormat bukan untuk 'melawa' - Agong

Sultan Ibrahim berangkat pulang selepas Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 di Padang Kawad Markas Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar hari ini. - Foto Bernama
MERSING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menegur pemakaian beret dan lencana kehormat pada pakaian seragam tentera yang disifatkan tidak boleh dipakai sewenang-wenangnya pada semua acara.
Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegur pemakaian beret dan lencana kehormat yang tidak sepatutnya dipakai sewenang-wenangnya, kerana ia melambangkan kelayakan dan kemahiran sebenar anggota tentera.
- Baginda menekankan hanya individu yang benar-benar layak seperti yang telah menjalani latihan khas boleh memakai lencana tersebut, manakala lencana kehormat hanya sesuai dipakai semasa acara tertentu sahaja.
- Teguran dibuat sempena ulang tahun ke-60 Rejimen Gerak Khas (RGK), dengan seruan agar anggota terus berdisiplin, berdedikasi dan mengekalkan martabat rejimen sebagai pasukan elit negara.
"Tetapi jika seseorang hanya menerima lencana kehormat, ia hanya boleh dipakai pada acara tersebut sahaja, bukan untuk melawa setiap hari.
"Jadi kepada yang tidak layak, awak tahu apa yang patut dibuat," titah Seri Paduka Baginda pada Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas (RGK) ke-60 di Kem Iskandar, di sini hari ini.
Turut berangkat Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim.
Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK), bertitah teguran itu dibuat secara berhemah sempena hari bersejarah rejimen berkenaan.
Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan seluruh warga GGK supaya terus berdisiplin, berdedikasi selain mahu mereka mengekalkan martabat rejimen agar sentiasa disegani kawan dan digeruni lawan serta berpegang teguh pada cogan kata 'cepat dan cergas'.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian RGK sejak ditubuhkan pada 1965 hasil jasa dan pengorbanan anggota serta veteran rejimen elit itu.
"Saya berharap rejimen ini akan terus unggul sebagai sebuah pasukan strategik negara yang sentiasa bersedia bertindak dengan cepat dan berkesan dalam menghadapi sebarang ancaman.
"Akhir kata, marilah kita berdoa ke hadrat Ilahi semoga Malaysia sentiasa dilimpahkan rahmat, kekal aman, maju dan makmur. Insya-Allah," titah Seri Paduka Baginda.
Perbarisan sempena ulang tahun ke-60 RGK itu dianjurkan bagi memperingati penubuhan rejimen berkenaan serta menghargai jasa dan pengorbanan wira pasukan elit tersebut dalam mempertahankan kedaulatan negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami