MALAYSIA
Pemakanan sihat perlu diutamakan, elak hanya fikir soal rasa dan kuantiti – Raja Muda Perlis

Dari kiri Lailatul Shahreen, Syed Faizuddin dan Syed Sirajuddin Areeb mendengar penerangan daripada wakil Solid Africa ketika berkenan berangkat ke ibu pejabat pertubuhan itu di Kigali, Rwanda. - Gambar ihsan MAIPs
KIGALI, RWANDA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, isu pemakanan bernutrisi tinggi perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak termasuk pengusaha makanan, institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam kesihatan serta pembangunan sosial.
Baginda bertitah, kesedaran mengenai kepentingan makanan berkhasiat dan seimbang masih rendah dan perlu dipertingkatkan agar masyarakat tidak hanya mementingkan soal rasa dan kuantiti, sebaliknya, turut mengambil kira kesan jangka panjang terhadap kesihatan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar.
“Sebagai contoh, jika terdapat ahli keluarga yang sedang dalam rawatan, maka pilihan makanan hendaklah disesuaikan dengan keperluan kesihatan mereka, bukan sekadar yang sedap dan mengenyangkan,” titah baginda seperti dipetik menerusi kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), hari ini.
Titah berkenaan dizahirkan semasa lawatan baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke ibu pejabat Solid Africa, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terkemuka di sini, yang memperjuangkan akses kepada pemakanan bernutrisi terutama untuk pesakit di hospital awam, sekolah dan komuniti.Sejak ditubuhkan pada 2010, Solid Africa telah menyumbangkan lebih lima juta hidangan kepada hampir 600,000 penerima manfaat, dan kini menyediakan tiga hidangan lengkap setiap hari kepada lebih 1,500 pesakit di lima hospital kerajaan di Rwanda.
Lawatan itu turut disertai Waris Kedua N egeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, dan delegasi baginda telah disambut oleh pengasas NGO berkenaan, Isabelle Kamariza.
Perbincangan turut menyentuh peranan pendidikan nutrisi, pertanian lestari dan latihan kemahiran dalam bidang pemakanan sihat - aspek yang disifatkan penting dalam membentuk komuniti yang sihat dan produktif.
Dalam masa sama, Syed Faizuddin turut menyarankan agar pendekatan bantuan makanan bernutrisi seperti yang diamalkan di Rwanda dapat dikaji secara menyeluruh bagi melihat kesesuaian pelaksanaannya mengikut konteks setempat di negeri Perlis.
Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Solid Africa atas komitmen berterusan mereka dalam memperjuangkan isu sekuriti makanan dan kesihatan komuniti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami