Seorang pemancing dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot berhampiran Pelantar Minyak Dulang.

Kejadian berlaku di kawasan 65 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Mangsa dikenali sebagai Suhaimi Muhammad, 41 tahun, dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Menurut rakan mangsa Mohd Zarimy Mohd Azahari, dia bersama 10 yang lain termasuk tekong bot, keluar memancing pada Ahad.

Bot berkenaan mengalami kerosakan kemudi dan terpaksa berlabuh berhampiran Pelantar Minyak Dulang, untuk mendapatkan bantuan.

Keadaan menjadi kecoh apabila mangsa dikatakan tergelincir dan terjatuh ke laut.

“Waktu tu arus sangat laju, kami nampak dia cuba berenang melawan arus, jadi kami capai tali dan baling tapi dia tak dapat capai.

“Kami lempar pula jaket keselamatan, dia dapat tangkap tapi ketika itu dia nampak kepenatan dan tak sempat sarung. Jadi dia peluk saja jaket itu dan dalam masa tak sampai beberapa saat, dia dah hanyut terlalu jauh,” kata Mohd Zarimy.

Bot berkenaan tiba di Jeti Seberang Takir kira-kira jam 3 pagi dengan bantuan bot nelayan.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan KM Jujur dari Pejabat Daerah Maritim 10, Tok Bali, Kelantan.