MALAYSIA
Pemandu bas mogok: KESUMA buka dua kertas siasatan

KESUMA memaklumkan siasatan awal oleh JTKSM mendapati mogok berpunca daripada beberapa isu berkaitan kebajikan pekerja. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah membuka dua kertas siasatan terhadap sebuah syarikat pengangkutan susulan insiden mogok membabitkan pemandu bas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, Johor, semalam.
KESUMA memaklumkan siasatan awal oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mendapati mogok berpunca daripada beberapa isu berkaitan kebajikan pekerja termasuk potongan gaji tanpa penjelasan, penamatan Elaun Tugas Khas tanpa notis serta dakwaan kegagalan majikan membuat bayaran bagi kerja lebih masa.
"Bagaimanapun ramai pemandu enggan membuat aduan rasmi kerana bimbang dikenakan tindakan.
"Bagi memastikan tindakan mogok tidak berulang dan menjejaskan pengguna perkhidmatan awam, JTKSM melakukan pemantauan susulan dan pemeriksaan lanjut ke atas premis berkenaan seawal 5 pagi tadi dan mendapati tiada lagi insiden mogok dilaporkan," menurut KESUMA dalam kenyataan.KESUMA memaklumkan syarikat terbabit sebelum ini didapati melanggar Peraturan-Peraturan Pekerjaan (Had Kerja Lebih Masa) 1980 apabila merekodkan lebih 104 jam kerja lebih masa sebulan dalam operasi yang dijalankan pada 17 Julai lepas.
"Dalam operasi sama, 32 syarikat diperiksa dengan 34 kertas siasatan dibuka iaitu 30 di bawah Akta Kerja 1955 dan empat di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
"KESUMA ingin menegaskan semua majikan wajib mematuhi Akta Kerja 1955 khususnya berkaitan urusan potongan gaji. Sekiranya disabitkan kesalahan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap kes," menurut kenyataan itu.
Menurut KESUMA, Menteri Sumber Manusia Steven Sim turut mengarahkan tindakan tegas diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana syarikat yang gagal mematuhi undang-undang bagi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara.
Sehubungan dengan itu, KESUMA menyarankan mana-mana pekerja yang menghadapi masalah berkaitan potongan gaji, kerja lebih masa yang tidak dibayar atau layanan tidak wajar agar membuat aduan rasmi kepada JTKSM melalui talian hotline 03-8886 5192/5937 atau e-mel [email protected].
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami