Skip to main content

Malaysia

Pemandu berhemah kini nikmati rebat premium insurans sehingga 10 peratus - Loke

KUALA LUMPUR, 9 Jun -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (tengah) bercakap pada sidang media Majlis Pelancaran Program CERMAT MADANI di Kuala Lumpur hari ini._BERNAMA
Anthony Loke berkata, ini tertakluk kepada penilaian dan keputusan syarikat insurans serta pengendali takaful yang mengambil bahagian berdasarkan rekod pemanduan dan saman pengguna. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pemandu yang dinilai berhemah akan menerima rebat premium sehingga 10 peratus ketika memperbaharui insurans menerusi aplikasi MyJPJ.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata insentif yang diperkenalkan menerusi Cermat MADANI itu adalah hasil kerjasama dengan 10 syarikat insurans.

Jelasnya, ia tertakluk kepada penilaian dan keputusan syarikat insurans serta pengendali takaful yang mengambil bahagian berdasarkan rekod pemanduan dan saman pengguna.

"Ini merupakan pendekatan baharu yang memberi insentif kepada pemandu berisiko rendah melalui premium lebih kompetitif, sekali gus menggalakkan budaya pemanduan berhemah dalam kalangan pengguna jalan raya

“Jika profil risiko atau scoring dinilai rendah... apabila mereka memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan memilih untuk memperbaharui insurans menerusi aplikasi MyJPJ, satu proses penilaian risiko akan dijalankan. 

"Pemilik kenderaan yang memenuhi kriteria akan diberi diskaun atau rebat tambahan ke atas premium insurans mereka,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Cermat MADANI, di sini, pada Selasa.

Loke berkata pada peringkat awal, penilaian hanya melibatkan data JPJ yang diintegrasikan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala data berkaitan saman dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak diambil kira buat masa ini.

Loke berkata, kerajaan memberi tempoh tiga bulan iaitu sehingga 9 September depan kepada semua pengguna yang memperbaharui insurans menerusi MyJPJ untuk menikmati Rebat MADANI sebanyak 10 peratus.

Selepas 10 September nanti, pemberian Rebat MADANI 10 peratus akan ditentu berdasarkan penilaian risiko pemandu, termasuk rekod saman aktif dan status senarai hitam yang disemak menerusi pangkalan data mySIKAP JPJ.

“Dalam tempoh promosi ini, semua pengguna yang memperbaharui insurans melalui MyJPJ akan menerima rebat tambahan 10 peratus tanpa syarat. Namun ini bukan matlamat asal kita kerana kerajaan mahu ganjaran itu kemudiannya diberikan kepada pemandu yang benar-benar mempunyai rekod pemanduan baik dan berhemah.

“Bagaimanapun, jumlah rebat tambahan yang boleh diberikan di bawah inisiatif ini dihadkan kepada maksimum 10 peratus, selaras dengan peraturan ditetapkan Bank Negara Malaysia. Setakat pelancaran hari ini, sebanyak 10 syarikat insurans telah menyertai Cermat MADANI dan lebih banyak syarikat digalakkan menyertai inisiatif ini,” katanya.

Katanya, sistem kecerdasan buatan (AI) juga akan digunakan bagi menilai rekod pengguna melalui integrasi data JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum syarikat insurans membuat keputusan mengenai kadar rebat yang layak diberikan.

“Kalau seseorang mempunyai banyak saman dan sering melanggar peraturan jalan raya tetapi tetap menerima ganjaran yang sama, ia tidak membawa makna kepada objektif kita untuk menggalakkan pemanduan berhemah. 

"Selepas September nanti, syarikat insurans akan melihat skor risiko seseorang pemandu sebelum menentukan sama ada mereka layak menerima rebat tambahan atau premium yang lebih rendah,” ujarnya.

Must Watch Video

Advertisement