Skip to main content

Malaysia

Pemandu BYD didakwa pandu berbahaya sebabkan kematian Asiah

Pemandu kereta BYD dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. - Foto Sinar Harian
Pemandu kereta BYD dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. - Foto Sinar Harian

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemandu kereta BYD Seal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan, termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Sabtu minggu lalu.

Pegawai bank, Raeven Goh Wey Haur, 24, yang memakai baju-T berwarna hijau, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Aliaa Anwar.

“Tidak bersalah,” kata lelaki bujang itu ketika berada di kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memandu kenderaan itu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5, di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Segambut di sini, pada jam 3.44 petang, 10 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Seksyen itu turut memperuntukkan pengendorsan sabitan pada lesen memandu serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh sabitan.

Pertuduhan kedua dan ketiga, Raeven didakwa memandu kenderaan sama secara berbahaya kepada orang awam dan gagal berhenti selepas kenderaannya terlibat dalam kemalangan di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi kes memandu secara berbahaya pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan gagal memberhentikan kenderaan, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 52(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi semua pertuduhan.

“Saya mohon mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu menggantung lesen tertuduh bermula hari ini sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Wafi Hussain.

Bagaimanapun, peguam, Kailash Sharma yang mewakili tertuduh pula merayu supaya anak guamnya diberikan ikat jamin pada kadar minimum dengan mengambil kira keluarga tertuduh telah memberi kerjasama kepada pihak polis.

“Bapa tertuduh yang berusia 55 tahun dan menjalankan perniagaan selama 26 tahun dicadangkan sebagai penjamin,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Aliaa membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta menetapkan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 19 November depan untuk sebutan semula kes.

Image
Asiah yang menaiki Perodua Bezza bersama bapanya mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di HKL. Sumber: SINAR HARIAN
Asiah yang menaiki Perodua Bezza bersama bapanya mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di HKL. - Foto Sinar Harian

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa turut hadir ke mahkamah bersama Nur A’minahtul Mardiah Md Nor selaku peguam pemerhati.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan polis melengkapkan siasatan kemalangan membabitkan enam kenderaan yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Dalam kejadian itu, kereta BYD Seal berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Bezza yang bergerak dalam aliran trafik perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.

Pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berkenaan berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

Asiah yang menaiki Perodua Bezza bersama bapanya mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL). - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement