Peraturan yang sama dikenakan terhadap pemandu teksi konvensional dan penyedia perkhidmatan 'e-hailing' bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Sehubungan itu, katanya, tidak timbul isu pemandu teksi 'e-hailing' dikecualikan daripada peraturan itu atas alasan kemudahan tersebut mengenakan kemudahan lebih murah.

"Seperti peraturan yang disyaratkan oleh pemandu teksi konvensional, peraturan itu turut terpakai kepada pemandu 'e-hailing' kerana ia melibatkan isu keselamatan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 di Dewan Negara di sini, hari ini.

Pada 27 Julai lepas, rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Rakyat sekali gus memberikan kerajaan kuasa untuk mengawal selia syarikat perkhidmatan 'e-hailing' seperti Uber dan Grab.

Melalui undang-undang itu juga, pemandu 'e-hailing' diwajib melakukan pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan berkala kenderaan dan mempamer kad keselamatan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) seperti pemandu teksi konvensional.

Nancy berkata pemandu 'e-hailing' juga perlu mempunyai kad keselamatan yang dikeluarkan oleh SPAD yang membolehkan suruhanjaya itu membuat pemantauan dan saringan tapisan keselamatan dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan semakan rekod di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagi memastikan pemandu teksi konvensional boleh bersaing dengan pemandu 'e-hailing', katanya, kerajaan juga memberi kelonggaran kepada pemandu teksi melalui Transformasi Industri Teksi (TITP) supaya mereka bebas memilih kenderaan yang dirasakan sesuai dengan keselesaan penumpang dengan kelulusan pindaan rang undang-undang itu.

"Melalui TITP juga, permit teksi individu baharu akan dikeluarkan sekiranya pemandu telah tamat tempoh pajakan dengan syarikat teksi di samping bantuan geran untuk membeli teksi baharu," katanya.

Sehingga kini, seramai 600 pemandu teksi telah diberikan permit teksi individu.

Dewan Negara kemudian meluluskan rang undang-undang itu.

Dewan turut meluluskan Rang undang-undang Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017.

-- BERNAMA