KUANTAN: Pemandu e-hailang yang mencederakan seorang penuntut warga China menggunakan kerusi lipat besi di pekarangan sebuah hotel di Jalan Sekilau ditahan polis, pada Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 32 tahun yang mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada jam 7.15 malam.

Menurutnya, suspek mengaku terlibat dengan kejadian serangan wanita warga China berusia 22 tahun terbabit kerana berang mangsa menutup pintu kereta dengan kuat.

"Kita turut merampas kerusi lipat dipercayai digunakan lelaki terbabit ketika menyerang mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau namun pernah terbabit dengan kemalangan jalan raya.

Kes disiasat mengikut Sesyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, mangsa dikenali Miss Yuan mendakwa cedera akibat diserang pemandu e-hailing, pada Sabtu lalu.

Kejadian dikatakan berlaku ketika penuntut Universiti Putra Malaysia, Serdang Selangor yang berusia 22 tahun itu bersama rakannya melancong ke bandar raya ini pada Jumaat lalu.

Mereka menggunakan perkhidmatan e-hailing dari Menara 188 ke hotel ketika mereka bercuti di Kuantan.

Sejurus tiba di hotel terbabit, pemandu e-hailing terbabit didakwa menyerang mangsa dan menyebabkan wanita terbabit retak jari tangan kanan dan lebam di tangan serta muka. -Sinar Harian