ALOR SETAR: Seorang lelaki ditahan kerana mengalihkan penghadang jalan konkrit dengan menggunakan sebuah jengkaut di Jalan Bukit Tinggi-Bukit Pinang di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh memaklumkan lelaki berusia dalam lingkungan 40 tahun itu, yang juga pemandu jengkaut, ditahan di tapak binaan Taman Saga, Alor Mengkudu.

Jelasnya penghadang tersebut diletakkan bagi menghalang pergerakan kenderaan keluar dan masuk daerah Kota Setar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 19 Mei sehingga 1 Jun depan.

"Hasil siasatan mendapati lelaki tersebut telah melakukan perkara tersebut tertujuan untuk merentas daerah.

"Tangkapan mengaku melakukan perkara ini bagi menjalankan kerja-kerja kontrak atau pengubahsuaian di daerah Jitra di mana tangkapan tersebut tinggal di daearh Kota Setar," katanya.

Pemeriksaan polis di sekatan jalan raya (SJR) Kepala Batas. - Foto Astro AWANI


Beliau ditemui ketika melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) Kepala Batas, malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan jahat yang mungkin menyebabkan kemerebakkan penyakit jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya pada nyawa.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat harta benda menyebabkan kerugian atau kehilangan.

Hasil semakan mendapati, lelaki itu tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.

Penghadang tersebut diletakkan bagi menghalang pergerakan kenderaan keluar dan masuk daerah Kota Setar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 19 Mei sehingga 1 Jun depan. - Foto Astro AWANI


Sehubungan itu, Mohd Redzuan memberi amaran kepada semua penduduk di daerah ini atau sempadan berhampiran supaya patuh pada prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan akan dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan pelanggaran.

Sementara itu katanya sepanjang tempoh dua hari perlaksanaan PKPD sebanyak 16 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya makan di dalam premis, cubaan rentas sempadan dan beroperasi lebih masa.