BUTTERWORTH: Pemandu kereta yang parah selepas memandu secara melawan arus di Kilometer(KM) 13.0 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) arah Bagan Ajam Rabu minggu lepas, dilaporkan telah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 43 tahun yang memandu Honda City itu meninggal dunia jam 12.30 tengah malam Rabu selepas menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).

"Selepas lapan hari menerima rawatan, pihak polis dimaklumkan HSJ bahawa lelaki itu sudah meninggal dunia.

"Berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan punca kematian lelaki itu disebabkan mengalami pelbagai kecederaan dalaman ekoran impak kemalangan terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada 14 April lepas, lelaki itu yang memandu secara melawan arus telah merempuh sebuah kereta Toyota Corolla Altis  yang dinaiki tiga beranak dan sebuah motosikal dalam kejadian jam 8.30 malam di KM 13.0 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dekat Bagan Ajam.

BACA: Suami isteri parah kereta dirempuh pemandu lawan arus

Kemalangan menyebabkan seorang wanita iaitu penumpang Toyota Corolla Altis, Goh Shei Yi, 31, meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di HSJ.

BACA: Kereta dirempuh pemandu lawan arus, isteri meninggal dunia, suami dalam ICU

Suaminya menerima rawatan di sebuah Hospital swasta di George Town berada dalam keadaan stabil sementara anak perempuan berusia tiga tahun sudah dibenarkan keluar hospital.

Penunggang dan pembonceng motosikal yang terlibat dalam kemalangan sama tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.