Polis Terengganu berjaya merampas 50,000 biji dadah dipercayai pil kuda yang disembunyikan di sebalik lori yang membawa muatan buah-buahan.

Ia susulan tertangkapnya seorang pemandu lori dan kelindannya bersama dadah terbabit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM750,000 pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata kedua-dua suspek yang berusia 29 dan 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 pagi di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Telemong, Hulu Terengganu.

Katanya sebelum itu pihaknya sedang melakukan rondaan Ops COVID-19 dan telah terserempak dengan lori terbabit yang dalam keadaan mencurigakan.

Jelasnya ketika menghampiri lori terbabit, salah seorang suspek telah bertindak membaling sesuatu dari lori dan hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemui dadah yang turut disorokkan di dalam penapis udara.

“Kedua-dua suspek ini hasil daripada siasatan mereka mengaku telah mengambil kesempatan dalam musim MCO ini ataupun PKP ini mengambil upah untuk membawa dadah untuk disampaikan kepada destinasi-destinasi yang telah dijanjikan sebanyak tiga kali dengan upah di antara RM1,000 hingga RM8,000,” katanya.

Beliau berkata ketika ditahan lori berkenaan dipercayai dari arah Kelantan menuju ke Johor bagi mengambil bekalan buah dengan menggunakan LPT2.

Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua suspek memulakan aktiviti berkenaan sejak PKP mula dilaksanakan Mac lalu.

Roslee berkata pihaknya juga tidak menolak kemungkinan dadah berkenaan dibawa masuk dari negara jiran untuk diedarkan di sekitar Terengganu dan Pahang.

Katanya lagi, hasil ujian air kencing daripada kedua-dua suspek yang berasal dari Kelantan itu bebas dari pengaruh dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya.