MALAYSIA
Pemandu lori didakwa bunuh 'mak nyah'

Saravanan dibawa ke kamar Mahkamah Majistret Ipoh hari ini bagi menghadapi pertuduhan sengaja melakukan pembunuhan terhadap seorang lelaki berperwatakan wanita minggu lalu. - Foto Astro AWANI
IPOH: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang lelaki yang berperwatakan wanita, minggu lalu.
Tertuduh M I Saravanam, 32 tahun, hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Menurut pertuduhan, bapa seorang anak itu didakwa dengan sengaja telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian seorang individu yang dikenali dengan nama 'Fendi'.Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lorong tepi bangunan Hotel Grand View, Jalan Horley, Ipoh, pada masa yang belum dipastikan, pada 27 Ogos lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkam hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya S Nishaalini tidak menawarkan jaminan, manakala peguam tertuduh S Vinesh memohon kes dipercepatkan kerana anak guamnya mempunyai seorang anak lelaki berusia 6 tahun.
Mahkamah menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan beberapa dokumen seperti laporan bedah siasat, forensik, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemui seorang pekerja hotel sekitar jam 6 pagi dengan kesan kecederaan serius di kepala dan bahagian belakang badan bersama rambut palsu berwarna perang.
Berdasarkan rakaman CCTV, kejadian berlaku pada jam 4.24 pagi apabila mangsa dikejar sebuah lori bonded berwarna putih sebelum berlaku pergelutan dengan suspek.
Mangsa yang terjatuh telah digilis menggunakan kenderaan itu dan ditinggalkan di lokasi kejadian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami