MELAKA: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, pada Jumaat atas tuduhan menipu seorang pengarah syarikat membabitkan kerugian RM1.03 juta.

M Gopala Krishnan,39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Yap Koh Cheng, 69, untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan tender pajak ladang sawit dan dengan curangnya telah mendorong lelaki itu menyerahkan wang berjumlah RM1,029,000.

Yang mana dia tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan berjumlah RM45,000 memandangkan kerugian yang dialami mangsa membabitkan nilai tinggi hingga mencecah jutaan ringgit.

Peguam K Shareveen dan Daniel Savarimuthu yang mewakili tertuduh merayu denda ringan dikenakan terhadap tertuduh dengan alasan tertuduh yang telah berkahwin mempunyai lima orang anak masih kecil berusia satu hingga 10 tahun.

Selain itu tertuduh yang berpendapatan RM3,000 sebulan perlu menanggung ibunya yang mengalami sakit kronik malah tertuduh juga alami gastrik.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan serta pasport diserahkan ke mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan seorang pengarah syarikat lelaki berputih mata apabila kerugian lebih RM1juta ditipu pemandu lori yang mendakwa mampu memberikan tender pajak ladang kelapa sawit.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, mangsa berusia 68 tahun itu telah dihubungi suspek pada Jun tahun lalu dengan menawarkan tender pajak ladang terbabit.

Menurutnya, suspek mendakwa tender pajakan ladang berkeluasan 485.6 dan 607 hektar di Melaka dan Ipoh, Perak itu akan dibuka pada 17 Julai sebelum ditutup pada 31 Oktober 2023. - Sinar Harian