Skip to main content
Advertisement

Malaysia

ICU JPM sahkan surat guna kepala surat rasmi, tandatangan Ketua Pengarah palsu

PENAFIAN SURAT PALSU MENGGUNAKAN KEPALA SURAT RASMI DAN TANDATANGAN KETUA PENGARAH ICU JPM
ICU JPM memaklumkan pemalsuan dokumen termasuk kepala surat dan tandatangan dengan tujuan menipu pula boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan [Akta 574]. - Foto FB Unit Penyelarasan Pelaksanaan JPM
Advertisement

PUTRAJAYA: Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) mengesahkan satu surat yang menggunakan kepala surat rasmi jabatan itu serta tandatangan Ketua Pengarah ICU JPM adalah palsu.

ICU JPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan surat berkenaan bukan dikeluarkan oleh jabatan itu dan tandatangan Ketua Pengarahnya didapati telah ditiru serta digunakan tanpa kebenaran.

"ICU JPM memandang serius penyalahgunaan Jata Persekutuan, kepala surat rasmi serta tandatangan Ketua Pengarah ICU JPM yang boleh mengelirukan orang ramai dan menjejaskan kredibiliti jabatan," menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan penggunaan Jata Persekutuan atau tiruan yang menyerupainya tanpa kebenaran bertulis menteri bagi tujuan perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion adalah dilarang mengikut Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414].

Menurut jabatan itu, pelanggaran peruntukan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 5 akta sama.

ICU JPM memaklumkan pemalsuan dokumen termasuk kepala surat dan tandatangan dengan tujuan menipu pula boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan [Akta 574], yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, ICU JPM meminta orang ramai supaya tidak mempercayai kandungan, menyebarkan atau mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat palsu tersebut dan meminta mereka merujuk menerusi saluran rasmi untuk pengesahan kesahihan mana-mana surat menggunakan nama jabatan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement