KOTA KINABALU: Semua pemandu dan pembantu serta penumpang yang menaiki kenderaan awam di Sabah perlu lengkap divaksinasi, berkuat kuasa 16 September ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata syarat tambahan ini melibatkan semua pemandu dan pembantu kenderaan awam seperti bas henti-henti dan bas sekolah, teksi serta e-hailing.

"Ini adalah syarat tambahan baharu kepada syarat-syarat sedia ada dalam prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa.

"Antaranya ialah pematuhan penjarakan fizikal di dalam kenderaan tersebut serta pemakaian pelitup muka," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa semua perkhidmatan bas henti henti dihadkan ke kapasiti 50 peratus sahaja.

Bagi teksi dan e-hailing pula, had maksimum hanya dua orang termasuk pemandu.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata terdapat kluster melibatkan penularan di tempat kerja dilaporkan hari ini, iaitu Kluster Sawit Simpang Batu 38, Nabawan dan Kluster Bawah Bayu, Tuaran.

Setakat ini, Kluster Sawit Simpang Batu 38 mencatatkan jumlah kumulatif sebanyak 87 kes, manakala Kluater Bawah Bayu merekodkan kumulatif 63 kes.

Selain itu, jumlah kes sembuh COVID-19 yang dicatatkan hari ini adalah lebih tinggi daripada jumlah kes baharu.

Sebanyak 3,506 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif 130,818 orang, manakala sejumlah 1,844 kes positif COVID-19 baharu dilaporkan.

Sebanyak 31 kes kematian turut dilaporkan hari ini, katanya.