Akibat memeras ugut meminta wang daripada dua pelajar sekolah, seorang pemandu teksi hari ini didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap V. Ramesh, 34, selepas dia mengaku bersalah memeras ugut pelajar perempuan berusia 13 dan 14 tahun sehingga mendatangkan ketakutan terhadap mereka di tepi jalan berhampiran KL Festival Danau Kota, Setapak, pada 8 malam, 27 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan atau denda.

Berdasarkan fakta kes, semasa kedua-dua mangsa menaiki teksi tertuduh selepas pulang dari sekolah dan ketika berhenti di tempat kejadian, salah seorang daripada mereka membuka pintu teksi lalu pintu teksi tersebut bergesel dengan sebuah motosikal.

Tertuduh mengarah mangsa menutup semula pintu teksi dan memandu teksi di kawasan yang agak gelap serta meminta mangsa mengeluarkan semua wang sebagai ganti rugi calar pada pintu teksi, jika tidak mereka akan dicederakan.

Mangsa yang ketakutan telah menyerahkan wang tunai dan kemudiannya dibenarkan keluar dari teksi itu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Nurul Fatihah Abdul Ghani merayu supaya dikenakan denda minimum dengan alasan dia merupakan penanggung utama keluarganya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

-- BERNAMA