Pemandu teksi dan pengusaha e-hailing di Perlis diberi tempoh sehingga Jun tahun ini untuk mendaftar dan membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau berdepan tindakan undang-undang.

Pengarahnya, Mohd Asri Mohd Rasid berkata setakat ini hanya 99 daripada kira-kira 300 pemandu dan pengusaha e-hailing di negeri ini yang telah menyahut seruan kerajaan itu.

"Saya berharap mereka yang belum daftar supaya segera berbuat demikian," katanya kepada media selepas penyampaian faedah Perkeso 2019 sempena Tahun Baharu Cina peringkat negeri oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling di sini pada Rabu.

Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang mewajibkan golongan itu mencarum dengan Perkeso dikuatkuasakan pada 1 Jun 2017.

Mohd Asri berkata Perkeso memberi kelonggaran kepada pemandu teksi dan pengusaha e-hailing untuk membayar caruman mereka secara tahunan sebanyak RM157.20 atau bulanan sebanyak RM13.10.

Pada majlis itu, dua orang menerima faedah caruman Skim Keilatan dan dua lagi Skim Bencana Kerja berjumlah RM33,399.35.

Sehingga akhir tahun lepas, seramai 1,077 penerima di Perlis telah menerima faedah caruman bagi pelbagai skim berjumlah RM2.772 juta, tambahnya.

-- BERNAMA