Skip to main content

Malaysia

Pemansuhan AUKU bukan noktah, permulaan reformasi ekosistem pendidikan tinggi - ABIM

mahasiswa
Menurut Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, reformasi pendidikan tinggi perlu melangkaui ruang aktivisme mahasiswa dengan memastikan suara mereka turut diberikan tempat dalam perkara berkaitan pendidikan, kebajikan dan kehidupan kampus. -Gambar fail Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu menjadi titik permulaan kepada pembaharuan menyeluruh ekosistem pendidikan tinggi negara, bukan sekadar menggantikan akta berkenaan dengan undang-undang baharu.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata kerangka perundangan pasca-AUKU perlu menyeimbangkan kebebasan mahasiswa dan komuniti akademik dengan autonomi, integriti serta akauntabiliti institusi.

“Persoalan hari ini bukan sekadar mengenai pemansuhan sebuah akta, tetapi tentang bentuk ekosistem pendidikan tinggi yang mahu dibina selepas AUKU.

“Mahasiswa sebagai kelompok terpelajar yang mempunyai hak, daya fikir dan tanggungjawab perlu diberikan ruang sewajarnya untuk bersuara, berorganisasi serta berhimpun.

"Selain terlibat dalam kehidupan awam dan politik secara aman serta bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Tambah Ahmad Fahmi, reformasi pendidikan tinggi perlu melangkaui ruang aktivisme mahasiswa dengan memastikan suara mereka turut diberikan tempat dalam perkara berkaitan pendidikan, kebajikan dan kehidupan kampus.

Pada masa sama, perubahan struktur perundangan itu perlu disusuli pembinaan budaya kampus yang menggalakkan mahasiswa berfikir, berbahas, berorganisasi dan menyumbang kepada masyarakat.

"Pemansuhan AUKU tidak seharusnya ditafsirkan sebagai penghapusan keperluan terhadap tadbir urus universiti yang kukuh.

“Kerangka pasca-AUKU perlu menyeimbangkan kebebasan mahasiswa dan akademik dengan autonomi institusi, integriti, akauntabiliti serta kecemerlangan ilmu.

“Universiti yang merdeka bukan universiti tanpa aturan, tetapi universiti yang ditadbir dengan baik sambil menjamin percambahan ilmu dan kematangan warganya,” katanya.

ABIM turut berpandangan reformasi berkenaan perlu mengambil kira keseluruhan kerangka perundangan pendidikan tinggi, termasuk Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173), dengan mengambil kira kedudukan serta kekhususan setiap institusi.

Sehubungan itu, ABIM menggesa kerajaan melaksanakan libat urus menyeluruh bersama mahasiswa, ahli akademik, pentadbir universiti serta pemegang taruh berkaitan dalam membangunkan kerangka pasca-AUKU.

"Bagi ABIM, kebebasan mesti berjalan seiring dengan adab, integriti ilmu dan mas’uliyyah (tanggungjawab).

“Cabaran selepas AUKU bukan sekadar membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa, tetapi membina generasi yang mampu mengisinya dengan ilmu, keberanian intelektual, kematangan dan tanggungjawab,” katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement