Skip to main content

Malaysia

Pemansuhan AUKU peluang perbaharu landskap pendidikan tinggi negara

41560756873_TBUMKELANTAN.jpg
Naib Canselor UMK Prof Datuk Arham Abdullah berkata perundangan baharu membuka peluang untuk memperkukuh tadbir urus dan autonomi institusi pendidikan tinggi secara lebih tersusun termasuk dalam pengurusan aset, fasiliti, penjanaan pendapatan dan kerjasama strategik.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi negara perlu menyediakan persekitaran kondusif bagi membolehkan universiti di Malaysia terus berkembang, berdaya saing dan mencapai tahap kecemerlangan setanding institusi pendidikan tinggi terkemuka dunia.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus Datuk Seri Osman Bakar berkata kerangka itu juga perlu progresif, adil dan berpandangan jauh, selain memelihara kelangsungan serta integriti institusi universiti.

Beliau berkata usaha pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) merupakan peluang penting untuk membentuk kerangka sedemikian, bagi memperkasakan universiti mendepani perubahan dan tuntutan landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik.

“UIAM melihat langkah ini sebagai satu perkembangan penting memperbaharu landskap pendidikan tinggi negara, khususnya dalam membuka ruang lebih luas kepada penglibatan dan suara mahasiswa, memperkukuh kebebasan akademik serta membolehkan universiti terus berkembang sebagai wadah ilmu, pemikiran dan penyelidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Osman berkata UIAM mengalu-alukan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), untuk melaksanakan proses libat urus secara inklusif dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem pendidikan tinggi termasuk kepimpinan universiti, ahli akademik dan mahasiswa.

Beliau berkata penglibatan menyeluruh ini amat penting bagi memastikan kerangka perundangan baharu yang dibangunkan benar-benar mengambil kira aspirasi, realiti dan keperluan semasa komuniti pendidikan tinggi Malaysia.

Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Datuk Arham Abdullah berkata perundangan baharu membuka peluang untuk memperkukuh tadbir urus dan autonomi institusi pendidikan tinggi secara lebih tersusun termasuk dalam pengurusan aset, fasiliti, penjanaan pendapatan dan kerjasama strategik.

Beliau berkata autonomi yang bersesuaian dengan prinsip tadbir urus dan akauntabiliti, dapat membantu universiti mengoptimumkan aset serta fasiliti sedia ada bagi menyokong penjanaan pendapatan, sekali gus memperkukuh pembangunan universiti dan kesejahteraan mahasiswa.

Arham berkata ruang autonomi yang bersesuaian juga berpotensi memperkukuh keupayaan universiti membangunkan kerjasama strategik dengan sektor swasta dan rakan industri, tertakluk kepada kelulusan serta tatacara kewangan dan tadbir urus yang ditetapkan.

“Pendekatan sedemikian penting bagi memastikan universiti dapat meneroka peluang baharu tanpa menjejaskan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan kepentingan awam,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberi jaminan bahawa AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya tanpa pengenalan sebarang undang-undang baharu yang bersifat mengongkong atau menekan gerakan mahasiswa.

AUKU sebelum ini telah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.

Pindaan terbaharu pada 2024, menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement