PUTRAJAYA: Cuti peristiwa khas sempena pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong yang baharu pada 31 Januari ini tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata setakat ini tiada sebarang pengumuman berkaitan cuti tersebut namun ia bergantung kepada pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perkara ini tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu lalu dan hari ini. Malangnya tiada pengumuman sedemikian pada hari ini.

“Tidak ada pengumuman… kecuali Perdana Menteri memikirkan ada kewajaran tapi tidak dibincangkan malah mesyuarat Jemaah Menteri.

“Bahkan mesyuarat seterusnya adalah selepas majlis pemasyhuran pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang berikutnya iaitu pada 31 Januari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di bangunan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada Rabu.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri pada Rabu memutuskan sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara diselaraskan semula supaya kualiti pendidikan awal kanak-kanak itu lebih terjamin dan menyeluruh.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan sudah diarahkan untuk melaksanakan penyelarasan semula sistem pendidikan itu.

“Kita lihat ada pendidikan prasekolah yang agak pelbagai malah, ada kadangkala kami terima aduan daripada ibu bapa mengenai kualiti pendidikan berbeza.

“Justeru, tadi (mesyuarat Jemaah Menteri) memutuskan supaya sistem pendidikan itu diselaraskan semula.
Ini adalah keputusan yang dibuat hari ini.

“Kita (kerajaan) ingin pastikan pendidikan prasekolah yang disediakan kepada rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah adalah yang berkualiti dan kurikulumnya diselaraskan," katanya.

Tambah beliau, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan itu dalam masa terdekat.