MALAYSIA
Pembaharuan Semula Bandar bukan untuk halau penduduk asal - Nga Kor Ming

Nga Kor Ming menjelaskan bahawa RUU PSB digubal bagi menjaga kebajikan rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan lama, uzur dan tidak selamat. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang sedang digubal bukan bertujuan untuk mengusir pemilik asal daripada kediaman mereka selepas kawasan itu dibangunkan semula, tegas Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Ringkasan AI
- RUU PSB menjamin hak penduduk asal untuk kekal menetap, dengan penempatan sementara atau subsidi sewaan disediakan sepanjang proses pembangunan semula.
- Akta ini tidak menjejaskan tanah rizab Melayu, tanah adat atau bangunan warisan, malah menawarkan pampasan dan unit baharu yang lebih selesa dan luas.
- Sebanyak 534 tapak telah diwartakan di seluruh negara, dengan bacaan kedua RUU dijadualkan pada 6 Oktober dan pelaksanaan dijangka bermula 1 Januari 2026.
“Pilihan kedua, jika blok sementara itu tidak selesa, pemaju akan dikenakan syarat untuk menyediakan subsidi sewaan. Pemilik boleh menyewa di lokasi pilihan masing-masing dan kembali ke kondominium baharu selepas siap,” katanya dalam sidang media khas pada Jumaat.
Menurut beliau, objektif utama RUU PSB adalah untuk memastikan pengekalan penduduk asal serta menyediakan penempatan sementara yang selamat dan selesa sepanjang proses pembangunan semula.
“Peruntukan ini menjaga kepentingan pemilik tanah. Ini semua terkandung dalam akta. Selain itu, kita ada kriteria penilaian bagi kawasan pembaharuan semula bandar. Tidak semua kawasan boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya,” tambahnya.
Kor Ming turut menegaskan bahawa Akta PSB tidak akan menjejaskan tanah rizab Melayu, tanah adat mahupun bangunan warisan di negara ini.
Beliau menyatakan bahawa pampasan yang ditawarkan juga jauh lebih baik berbanding keadaan asal.
“Sekarang rumah hanya 500 kaki persegi, satu bilik dan satu tandas. Selepas PSB, minimum 750 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua tandas - satu untuk ibu bapa, satu untuk anak lelaki, satu untuk anak perempuan. Inilah dasar manusiawi Kerajaan MADANI,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa RUU ini memberi kelebihan kepada pemaju, sebaliknya menegaskan bahawa ia digubal untuk melindungi komuniti dan menyelamatkan penduduk daripada terus menghuni rumah usang yang berisiko.
534 Tapak Telah Diwartakan
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming memaklumkan bahawa sebanyak 534 kawasan di seluruh negara telah dikenal pasti dan diwartakan untuk tujuan PSB oleh kerajaan negeri masing-masing, termasuk negeri-negeri pembangkang.
Antara tapak yang telah diwartakan termasuk 22 di Terengganu (2015) dan 55 di Kedah (2018).
“Ini fakta, bukan cadangan kerajaan Persekutuan. Kuala Lumpur ada 139 tapak, Kedah (55), Terengganu (22), Kelantan (4), Selangor (72), Johor (36), Pahang (58), Pulau Pinang (5), Perak (85), Negeri Sembilan (49) dan Melaka (9) - keseluruhannya berjumlah 534 tapak.
“Mereka yang wartakan dan setuju dahulu, tiba-tiba mereka pula yang bantah,” katanya.
Bacaan kali kedua RUU PSB dijadualkan berlangsung pada 6 Oktober ini, sebelum diteruskan dengan bacaan kali ketiga bersama pindaan yang dipersetujui selepas mendengar pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Jika diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, RUU ini dijangka boleh diwartakan selewat-lewatnya pada 1 Januari 2026.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami