Skip to main content

Malaysia

Pembangkang gesa Sidang Khas Parlimen bincang impak konflik Iran

https://www.sinarharian.com.my/article/773110/berita/politik/pembangkang-gesa-sidang-khas-parlimen-bincang-impak-konflik-iran
Menurut Hamzah, permohonan itu telah disampaikan menerusi surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Perkara 11(3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. - Gambar fail

SHAH ALAM: Pembangkang menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membincangkan implikasi peperangan di Iran terhadap Malaysia dan ekonomi global.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, permohonan itu telah disampaikan menerusi surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Perkara 11(3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Advertisement

"Ia bagi membolehkan implikasi peperangan di Iran selain kesannya terhadap Malaysia dan ekonomi global dibincang serta dibahas secara komprehensif.

"Perkara-perkara yang dibangkitkan perlu dibincangkan secara konstruktif, dua hala dan telus, khususnya mengambil kira kepentingan rakyat serta kedudukan ekonomi negara secara menyeluruh," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Anwar menerusi perutusan khas pada Khamis memaklumkan, kerajaan akan menyelaras kelayakan subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, berbanding 300 liter sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan itu diambil susulan kesan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat terhadap bekalan dan harga tenaga global.

Menurutnya, ketegangan yang tercetus akibat serangan berterusan di rantau itu, termasuk tempiasnya ke negara-negara Teluk serta gangguan kepada laluan tenaga strategik seperti Selat Hormuz, memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan minyak dunia.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menegaskan, permintaan tersebut mencerminkan komitmen dan harapan pembangkang untuk bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan negara sentiasa bersiap siaga dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

"Terutamanya dalam aspek keterjaminan makanan, kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya," ujarnya. -- Sinar Harian

Must Watch Video