Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembangkang menggunakan pendekatan populis untuk menarik perhatian rakyat sedangkan perkara yang dijanjikan hanya pembohongan semata-mata.

Beliau berkata manifesto pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) didapati hanya 15 peratus benar sedangkan selebihnya hanya sekadar janji manis menjelang pilihan raya sahaja.

"Mereka tulis dasar sebab nak populis sedangkan mereka berbohong pada rakyat. Negara kita kini sudah berada dalam keadaan amat bagus dengan wujudnya banyak peluang pekerjaan, rakyat memiliki pendapatan tinggi.

"Namun pembangkang cuba mengaburi rakyat dengan menjanjikan mereka akan beri lebih, termasuk menurunan harga minyak, sedangkan kajian kita mendapati jika negara melaksanakan manifesto mereka itu, negara akan mengalami defisit sehingga 11 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) Pagoh sempena Himpunan Jentera BN Pagoh, di sini yang turut dihadiri isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Pengarah Jentera Pilihan Raya Parlimen Pagoh, Datuk Tahir Taat.

Muhyiddin berkata jika itu terjadi, Malaysia akan dipandang hina, dan pelabur tidak lagi akan datang menanam modal di negara ini.

Oleh kerana itu, katanya, kerajaan berusaha keras selama 55 tahun untuk memastikan negara tidak bankrap sama seperti yang dialami sesetengah negara barat.

Beliau turut menyelar sikap pemimpin pembangkang yang disifatkannya gila kuasa dan hanya sibuk memikirkan cara untuk menakluk Putrajaya dan menjadi perdana menteri.

"Mereka ini gila kuasa, berpakat sesama sendiri macam sebulu tapi sebenarnya banyak bulu, tidur sebantal tapi mimpi lain-lain, ada yang nak naik roket ke bulan," katanya.

Timbalan pengerusi BN itu berkata pilihan raya kali ini amat mencabar lantas mengingatkan anggota parti supaya jangan menimbulkan sebarang masalah, isu ataupun krisis, sebaliknya perlu menumpukan kepada kerja kuat untuk memperkukuh parti.

Muhyiddin selepas itu meluangkan masa lebih satu jam minum petang bersama masyarakat di Pekan Pagoh.