Skip to main content

Malaysia

Pembangunan bakat perlu dilihat sebagai infrastruktur ekonomi negara – Amir Hamzah

Amir Hamzah, Finance Minister II - Credit Bernama
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, isu utama bukan sekadar penciptaan pekerjaan tetapi kesediaan tenaga kerja untuk mengisi peluang yang ada dalam persekitaran global.
Advertisement

SEREMBAN: Pembangunan bakat kini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada infrastruktur ekonomi negara yang sama pentingnya dengan pembangunan fizikal seperti pelabuhan, lapangan terbang dan grid tenaga.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, isu utama bukan sekadar penciptaan pekerjaan tetapi kesediaan tenaga kerja untuk mengisi peluang yang ada dalam persekitaran global.

“Saya melihat pembangunan bakat sebagai infrastruktur ekonomi, sama pentingnya dengan lapangan terbang atau grid tenaga. Sepertimana kita membina infrastruktur fizikal untuk menggerakkan ekonomi, kita juga perlu membina modal insan yang mampu menggerakkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran BAKAT MADANI di d'Tempat Country Club, T 12653, Bandar Sri Sendayan, Seremban, pada Isnin.

Beliau berkata, keadaan itu menjadi lebih mencabar dengan unjuran kira-kira 1.2 bilion golongan muda dijangka memasuki pasaran pekerjaan antara 2025 hingga 2035, termasuk 280 juta di rantau Asia Timur dan Pasifik.

Beliau menambah, pertumbuhan ekonomi negara yang semakin kukuh perlu disertai dengan keupayaan rakyat memiliki kemahiran yang relevan bagi mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan.

Menurutnya, walaupun kadar pengangguran negara kini berada sekitar tiga peratus, antara yang terendah dalam sedekad, kejayaan sebenar tidak boleh hanya diukur melalui jumlah pelaburan yang masuk tetapi sejauh mana rakyat mendapat manfaat daripadanya.

Amir Hamzah turut menegaskan bahawa institusi besar negara seperti GLIC, GLC dan PETRONAS mempunyai tanggungjawab lebih luas daripada sekadar menjana pulangan, sebaliknya perlu memainkan peranan dalam pembangunan bakat nasional sebagai sebahagian daripada amanah terhadap rakyat.

“Inisiatif seperti BAKAT MADANI menyatukan usaha pembangunan bakat ke dalam satu platform nasional bagi memperkukuh laluan pendidikan, latihan, pensijilan dan penempatan pekerjaan khususnya dalam sektor strategik seperti tenaga, digital, automotif dan semikonduktor,” katanya.

“Malaysia tidak pernah kekurangan bakat. Apa yang kurang ialah jambatan yang menghubungkan bakat tersebut dengan peluang yang sudah menanti,” katanya.

BAKAT MADANI memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu memperkukuh kebolehpasaran dan penempatan kerjaya dalam ekosistem GLIC, GLC dan PETRONAS; memperluas peluang penempatan pekerjaan merentas sektor strategik negara; serta memperkasa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama erat dengan industri bagi melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

Berteraskan prinsip Modal Ihsan, BAKAT MADANI turut memperluas akses kepada latihan, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada golongan rentan, termasuk isi rumah B40, asnaf, individu yang memerlukan peluang kedua serta bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia yang sedang melalui fasa peralihan kerjaya.

Tumpuan diberikan kepada sektor-sektor bernilai tinggi dan berpotensi besar seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan termaju, bagi menggalakkan penyertaan industri secara lebih meluas dalam penyediaan latihan dan peluang pekerjaan berkualiti.

Must Watch Video

Advertisement