MERSING: Pembangunan daerah Mersing memerlukan kerjasama dan gabungan usaha antara kerajaan negeri dan Persekutuan, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata isu jalan, jeti, hospital, jambatan dan keperluan asas lain yang telah menghantui warga daerah ini sekian lama, perlu diselesaikan segera demi kesejahteraan rakyat agar limpahan ekonomi dapat dinikmati oleh penduduk tempatan.

"Saya yakin dan percaya dengan kerjasama, sokongan dan bantuan daripada kerajaan Persekutuan, kita mampu menjadikan Johor terutamanya Mersing sebagai destinasi pilihan pelancong seluruh dunia," katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya pada Sabtu.

Menurut Onn Hafiz, Mersing berpotensi menjadi Daerah Pelancongan yang tersohor di Malaysia dengan adanya keindahan alam semula jadi yang luar biasa.

Katanya ini kerana Mersing mempunyai persisiran pantai yang pasirnya putih dan lembut selain warna air lautnya hijau kebiruan serta dasarnya yang cukup jernih sekali gus memukau sesiapa sahaja melihatnya.

"Subhanallah, segala puji bagi Allah SWT yang telah menganugerahkan daerah Mersing dengan begitu banyak keindahan dan keajaiban alam yang sangat luar biasa," katanya.

Onn Hafiz berkata bagi penggemar aktiviti 'island hopping' dan selam snorkel, Mersing adalah peluang untuk mereka meneroka keindahan pulau dan dasar laut kerana terdapat pelbagai jenis batu karang berwarna-warni menghiasi dasar lautnya.

Terdahulu, beliau melawat Pulau Sibu Tengah, Pulau Tinggi, Pulau Besar, Pulau Batu-Batu, Pulau Rawa, Pulau Harimau, Pulau Hujung dan Pulau Batu Gajah selain meninjau trek basikal serta Kampung Stay @ Teluk Buih, dalam lawatan kerjanya selama dua hari ke daerah ini.

Mersing mempunyai lima kepulauan utama iaitu Pulau Sibu, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.

-- BERNAMA