Pembangunan Sunway Pier Harbour siap 2028, bakal rancak sektor pelancongan - Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek itu dilaksanakan oleh pihak swasta di tapak terminal feri lama Kompleks Pelabuhan Klang. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Meskipun projek pembangunan Sunway Pier Harbour di Pelabuhan Klang, Selangor bukan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan, namun kerajaan mengambil maklum potensi besar projek itu dalam merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Ringkasan AI
- Projek Sunway Pier Harbour di Pelabuhan Klang dijalankan oleh pihak swasta dan dijangka siap pada suku kedua 2028, bertujuan menjadi destinasi pelancongan moden dengan kemudahan bertaraf dunia.
- Kerajaan ambil maklum potensi projek dalam merancakkan ekonomi setempat, dijangka menyumbang lebih RM5 bilion kepada KDNK dalam 10 tahun serta mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu.
- Projek ini akan dihubungkan terus dengan stesen kereta api Pelabuhan Klang, dan tidak menjejaskan operasi logistik sedia ada termasuk jeti Pulau Ketam, sebaliknya menaik taraf kemudahan sebagai pintu masuk utama ke pulau tersebut.
"Pembangunan itu akan dilengkapi kemudahan moden dan mesra pengguna bagi meningkatkan daya tarikan pelancongan di kawasan pesisir Pelabuhan Klang yang masih kurang pembangunan bertaraf dunia," katanya,
Loke berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini, ketika menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkenaan status kelulusan perancangan, laporan penilaian alam sekitar dan langkah untuk memastikan manfaat pekerjaan daripada projek itu.
Beliau berkata projek itu akan mempunyai keterhubungan terus dengan stesen kereta api Pelabuhan Klang melalui penaiktarafan stesen tersebut, selaras dengan peningkatan perkhidmatan tren komuter pada masa akan datang.
Selain itu, Loke berkata pembangunan projek juga bakal mencakupi kawasan tepi laut melibatkan ruangan komersial dan kawasan riadah orang awam, sekali gus dijangka mampu merancakkan ekonomi setempat melalui penyediaan peluang pekerjaan serta perniagaan.
"Berdasarkan anggaran, projek itu dijangka menyumbang lebih RM5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh 10 tahun, menarik lebih 30 juta pelancong serta mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu," katanya.
Loke berkata pada masa ini, semua kelulusan berkaitan seperti kelulusan perancangan dan pelan bangunan telah diperoleh daripada Majlis Bandaraya Klang serta agensi teknikal kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengairan dan Saliran.
Mengulas kebimbangan penduduk berkaitan kedudukan projek berhampiran kawasan operasi pelabuhan komersial dan jeti Pulau Ketam, beliau berkata aktiviti logisitik di kawasan sedia ada tidak akan terjejas kerana hanya melibatkan proses menaik taraf kemudahan untuk menjadikannya pintu masuk utama ke Pulau Ketam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


