ISTANBUL: Syarikat tenaga Perancis, EDF menghentikan operasi tiga reaktor nuklear selepas fenomena kemarau menyebabkan penurunan paras air di Sungai Meuse dan Sungai Moselle, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Dua reaktor di Loji Kuasa Nuklear Chooz di wilayah timur laut Ardennes dan satu reaktor di kemudahan Cattenom di Moselle masih tidak beroperasi setakat petang Isnin, menurut akhbar Le Figaro.
EDF menghentikan reaktor No. 1 di Chooz lewat Sabtu bagi mematuhi perjanjian Franco-Belgia 1998 yang mengawal selia pengurusan Sungai Meuse. Reaktor kedua loji berkenaan telah dihentikan operasinya sejak 11 Julai di bawah perjanjian yang sama.
Perjanjian itu membenarkan pengeluaran elektrik dilaraskan bagi memastikan aliran air mencukupi untuk pengguna Sungai Meuse di Perancis dan Belgium, menurut EDF.
Syarikat itu turut menghentikan satu daripada reaktor loji Cattenom pada Jumaat malam hingga Sabtu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penurunan paras air di Sungai Moselle.
EDF juga telah mengurangkan atau merancang untuk mengurangkan pengeluaran tenaga di empat reaktor lain iaitu Bugey 3, Tricastin 4, serta Saint-Alban 1 dan 2.
Perancis mengendalikan 57 reaktor nuklear yang menjana kira-kira 70 peratus daripada bekalan elektrik negara berkenaan.
Loji kuasa nuklear umumnya terletak berhampiran sungai atau laut kerana memerlukan jumlah air yang besar bagi tujuan penyejukan. Semasa musim kemarau dan gelombang panas, aliran sungai yang lebih rendah serta peningkatan suhu air boleh memaksa EDF mengehadkan atau menggantung pengeluaran.
Langkah sekatan itu bertujuan melindungi ekosistem akuatik dengan menghalang loji daripada terus memanaskan air sungai melalui pelepasan air penyejuk atau melepaskan bahan buangan kimia dan radioaktif tertentu apabila paras air rendah.
Jabatan Ardennes dan Moselle diletakkan di bawah amaran gelombang panas tahap kuning pada Isnin berikutan suhu melampau yang terus melanda sebahagian kawasan di negara itu.
-- BERNAMA-ANADOLU