Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Saiful Yazan nafi dakwaan PH sertai barisan Exco Negeri Sembilan

Saiful Yazan, Adun Johol
Saiful berharap semua pihak memberi ruang kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. - Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman menafikan dakwaan kononnya Pakatan Harapan (PH) akan menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan, sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai melulu dan tidak berasas.

Menurutnya, sekiranya perkara itu berlaku, sudah tentu ia akan dibincangkan terlebih dahulu bersama wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang baharu memenangi Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

“Kalau perkara itu benar-benar akan berlaku, sudah semestinya kami sebagai calon BN Negeri Sembilan yang baharu memenangi PRN yang lalu akan dibawa berbincang mengenainya.

“Sebaliknya, perkara ini tidak pernah dibincangkan sama sekali sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada lewat Selasa.

Sehubungan itu, Saiful berharap semua pihak memberi ruang kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat Negeri Sembilan telah membuat pilihan dan semua pihak seharusnya memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri, bukannya terus berpolitik.

“Rakyat Negeri Sembilan telah membuat pilihan, kini kita harus terus bekerja dan bukannya membuang masa bermain politik sepanjang masa,” katanya lagi.

Sebelum ini, wujud dakwaan bahawa ADUN daripada blok PH berkemungkinan menyertai pentadbiran Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Ismail.

Ismail pada Selasa bagaimanapun menafikan menerima sebarang maklumat mengenai dakwaan bahawa wakil PH akan disenaraikan dalam barisan Exco negeri.

Must Watch Video

Advertisement