KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir didenda RM5,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana menerima RM4,797.50 daripada seorang pekerja sebuah syarikat pembekalan makanan untuk menaikkan jumlah peserta dalam invois dituntut syarikat itu daripada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), enam tahun lepas.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurul Azirah Kamaruddin, 37, yang mengaku bersalah menerima wang tunai tersebut daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya selaku pembantu tadbir perkeranian dan operasi.

Ibu lima anak itu didakwa melakukan kesalahan di Maybank Desa Jaya, Kepong, di sini, pada 21 April 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh menerima pertolongan daripada seorang pekerja sebuah syarikat pembekalan makanan bagi menaikkan jumlah peserta Bengkel Akta Pengurusan Strata anjuran KPKT di Langkawi, Kedah daripada 34 orang kepada 85 peserta dalam invois syarikat tersebut.

Syarikat itu kemudian menerima bayaran daripada KPKT pada 12 April 2018, untuk perkhidmatan pembekalan makanan bagi bengkel itu dan tertuduh mengaku menerima RM4,797.50 daripada jumlah bayaran tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira faktor tertuduh merupakan penjawat awam yang seharusnya menjaga nama baik sektor kerajaan.

Peguam Hamzah Hamdan yang mewakili Nurul Azirah memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya perlu menjaga lima anak yang masih bersekolah dan anak bongsunya menghidap autisme.

"Anak guam saya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.

"Tambahan pula tindakan disiplin di jabatannya sedang menunggu dan dia mungkin dibuang kerja.

"Mohon hukuman denda ringan," kata peguam itu.

-- BERNAMA