MALAYSIA
Pembatalan rizab tanah awam, kawasan hijau isu kritikal pembangunan Kuala Lumpur - PAC

Mas Ermieyati berkata situasi itu menunjukkan wujud kelemahan dalam sistem perancangan pembangunan tanah di Kuala Lumpur yang memerlukan semakan semula menyeluruh. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pembatalan rizab tanah awam dan kawasan hijau yang telah diwartakan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) dan diberi milik kepada pemaju adalah isu kritikal yang boleh menjejaskan kualiti hidup penduduk serta fungsi ekologi bandar.
Ringkasan AI
- PAC mendapati tanah awam dan kawasan hijau yang diwartakan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur telah diberi milik kepada pemaju, menjejaskan ekologi dan kesejahteraan penduduk.
- PAC mengkritik kelemahan dalam sistem perancangan pembangunan tanah serta ketiadaan mekanisme semak dan imbang yang berkesan dalam keputusan pembangunan di Kuala Lumpur.
- PAC mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Tetap, pindaan akta berkaitan tanah, pelantikan Ahli Majlis DBKL, serta penjualan tanah secara telus melalui tender untuk meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan.
Beliau berkata perkara itu adalah satu daripada 12 dapatan utama PAC selepas mengadakan sembilan prosiding antara 5 Feb hingga 21 Mei 2025, melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Mas Ermieyati berkata prosiding itu turut memanggil mantan Ketua Setiausaha Negara, mantan Menteri Wilayah Persekutuan, mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA), Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD), Persatuan Selamatkan Kuala Lumpur (SaveKL) dan wakil penduduk.
Beliau berkata berdasarkan penemuan prosiding, antara dapatan lain yang dirumuskan PAC adalah peranan Lembaga Penasihat Bandar Raya yang terhad sebagai penasihat di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) dan tidak mempunyai kuasa membuat keputusan secara bersama.
"Ini menyebabkan ketiadaan mekanisme semak dan imbang yang berkesan dalam sebarang keputusan berkaitan pembangunan tanah kerajaan di Kuala Lumpur," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC Teresa Kok berkata PAC mengesyorkan kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Tetap memantau hal ehwal tanah termasuk pemberimilikan dan pembangunan tanah Kuala Lumpur.
"Jawatankuasa ini turut melibatkan Ahli-Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.
Teresa berkata PAC turut mengesyorkan kerajaan mengembalikan kepengerusian Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada Menteri yang bertanggungjawab mentadbir Wilayah Persekutuan bagi meningkatkan akauntabiliti demokrasi.
"PAC turut mengesyorkan pindaan terhadap akta berkaitan pembangunan tanah di Kuala Lumpur seperti Akta Ibu Kota 1960 dan Akta Perancangan 1982 (Akta 267) bagi memperkenalkan sistem Ahli Majlis lantikan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti yang dilaksanakan di negeri-negeri lain demi memastikan semak dan imbang.
"(Selain itu) DBKL hendaklah memastikan semua transaksi dan keputusan penggunaan tanah selaras dengan Pelan Struktur dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur yang telah diwartakan. Sebarang ketidakpatuhan perlu diberi justifikasi secara terbuka," katanya.
Dalam syor lain, Teresa berkata kerajaan perlu memastikan penjualan tanah dibuat secara telus dan terbuka melalui tender serta menyiapkan pindaan kaedah pengiraan premium tanah selewat-lewatnya akhir 2025 supaya sejajar dengan harga pasaran.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami