Empat kapal misi pesisir (LMS) yang dibeli oleh Malaysia dari China membuktikan bahawa kerajaan sentiasa bersiap siaga dalam soal keselamatan negara.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin mengambil perhatian langkah itu diambil sekalipun negara sekarang menghadapi pelbagai cabaran ekonomi.

"Ini bukti jelas kerajaan tidak bertolak ansur dalam perkara berhubung pertahanan dan keselamatan negara," katanya kepada Bernama.

Armada sekarang tidak lagi kos efektif, kerana itu LMS merupakan projek prioriti tinggi, katanya mengenai pembelian itu yang diumumkan semalam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang melakukan lawatan rasmi enam hari ke China.

Ahmad Kamarulzaman juga berkata ini bertepatan dengan matlamat 'efficiency savings' (ES) (penjimatan cekap) TLDM yang akan melihat armadanya disusun semula kepada hanya lima kelas kapal daripada 15.

Ini dilakukan tanpa mengurangkan bilangan atau keupayaan tempur perang kita, kata beliau.

Armada yang disusun semula itu, katanya, akan terdiri daripada kapal tempur pesisir, kapal selam, kapal ronda generasi masa depan, LMS dan kapal sokongan pelbagai peranan.

Beliau berkata, hasil daripada strategi konsolidasi ini ialah ia akan membolehkan kita melakukan penjimatan cekap yang besar, tanpa kompromi dalam soal standard dan prestasi. -- Bernama