KUCHING: Pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) serta Menteri Perladangan dan Komoditi dilihat akan membantu Kerajaan Sarawak menjana pendapatan melalui ekonomi baharu seperti perdagangan karbon dan hidrogen.

Jelas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pelantikan empat lagi wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam jemaah menteri akan turut memacu agenda pembangunan luar bandar negeri seperti Kementerian Kerja Raya yang dipegang Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Datuk Seri Fadillah sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi sudah tentu dapat membantu kerana kita (kerana) Sarawak banyak ladang. Kita juga bakal menjadi pengeluar terbesar minyak sawit dalam masa dua tahun kita mungkin melepasi Sabah sebab kawasan ladang kelapa sawit kita lebih luas.

“Dan keduanya, dari sudut tanaman semula hutan dan ketiganya sudah tentu komoditi yang baharu ialah karbon dan hidrogen, jadi bermakna Kerajaan Pusat boleh membantu kita dari sudut perniagaan karbon di pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media semasa menghadiri Majlis Perasmian Gelanggang Baharu Persatuan Badminton Sarawak (SBA) di Jalan Lapangan Terbang dekat sini pada Ahad.

Sementara itu Abang Johari turut mendedahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju secara prinsip untuk mewujudkan tabung amanah bagi dana persekutuan yang disalurkan kepada pembangunan negeri ini.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Kewangan akan ditubuhkan bagi mengawal selia pengurusan dana tersebut.

“Bermakna kalau Sarawak mempunyai RM4 bilion pembangunan daripada Kerajaan Pusat maka RM4 bilion itu akan diletakkan di bawah satu tabung amanah di Sarawak dan juga pelaksanaannya kalau boleh ditentukan di Sarawak di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

“Ini adalah satu pendekatan yang agak baharu tetapi rangka kerjanya akan ditentukan oleh jawatankuasa di antara Kementerian Kewangan dan juga Perdana Menteri sendiri,” jelasnya.

Perkara itu katanya telah dipersetujui semasa perbincangannya dengan Anwar pada Sabtu di ibu negara untuk menghadiri Majlis Angkat Sumpah kabinet Perdana Menteri ke-10 itu.

Daripada 25 ahli kabinet tersebut, lima merupakan wakil daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Datuk Seri Nancy Shukri, Datuk Seri Tiong King Sing serta Datuk Aaron Ago Dagang.