Pemberian Khas Negeri Sabah: AGC akan teliti alasan penghakiman sebelum ambil tindakan

Menurut AGC, antara isu yang menjadi pertikaian dalam kes berkenaan ialah tafsiran undang-undang ke atas Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.
Ringkasan AI
- AGC akan teliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum mengambil tindakan susulan berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah.
- Mahkamah memutuskan Kerajaan Persekutuan dan Sabah perlu semak semula pemberian khas bagi tempoh 19742022, selepas mendapati kegagalan menunaikan hak 40% hasil adalah tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan.
- Semakan mesti dibuat dalam 90 hari dan persetujuan dicapai dalam 180 hari, melibatkan tafsiran Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan berkaitan geran khas dan semakan berkala.
"Jabatan Peguam Negara akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah menerimanya sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut," menurut kenyataan itu.
Semalam, mahkamah tersebut memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan berhubung tuntutan pemberian khas 40 peratus hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Arahan itu dikeluarkan selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah berkaitan hak perlembagaan negeri itu untuk menuntut 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.
Kes berkenaan tertumpu kepada tafsiran Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan -- Perkara 112C menyentuh geran khas serta agihan hasil kepada Sabah dan Sarawak, manakala Perkara 112D menetapkan semakan berkala terhadap geran berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami